suria

Rorine Unjur Laman Web Baharu, Ganda Jualan Menjelang Akhir Tahun

KUALA LUMPUR: Syarikat pemasaran jualan langsung, Rorine International Holdings Sdn Bhd, menjangkakan laman web e-niaga yang bakal dilancarkan tidak lama lagi mampu menggandakan jualannya menjelang akhir tahun, kata Pengerusinya Yee Keng Choy.

Tahun lalu, syarikat itu mencatat jualan berjumlah RM70 juta, disokong oleh usaha gigih ejen berdaftarnya.

Laman web itu dijangka dilancarkan pada 31 Mei 2014.

Yee, yang juga pengasas Rorine, berkata laman web itu bersama-sama dengan lebih 300,000 ejen berdaftar Rorine di seluruh negara, akan menyediakan rangkaian lebih luas untuk produknya.

"Laman web itu yang dibangunkan dengan kerjasama Persatuan Industri Kecil dan Sederhana Malaysia, turut menampilkan produk syarikat kecil dan sederhana (PKS)yang berdaftar dengannya.

"Kita juga telah merangka beberapa rancangan strategik untuk tahun ini dan berhasrat menambah jumlah ejen kami kepada sejuta menjelang hujung tahun ini.Ini sudah tentu dapat membantu meningkatkan jualan kami," katanya selepas memeterai memorandum persefahaman di sini.

Turut hadir Naib Presiden Persatuan PKS Michael Kang, Pengarah Eksekutif Kumpulan Hayat Datuk Seri Dr SH Tan, Ketua Pegawai Eksekutif 1 Global Alliance Sdn Bhd Victor Yap dan Penasihat Kehormat Yayasan 1Malaysia Datuk Chan Kim Leong.

Yee berkata Rorine mahu meningkatkan jumlah pusat jualannya kepada 50 berbanding 26 sedia ada sebagai sebahagian rancangan peluasan syarikat itu tahun ini dengan sebuah dibuka di Klang dan sebuah lagi di Kota Damansara sebelum perayaan Hari Raya Aidilfitri.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain