suria

Sime Darby Jangka Permintaan CSPO Naik 25 Peratus Tahun Depan

Penghasilan minyak sawit lestari daripada kelapa sawit dijangka meningkat tahun depan.

KLANG: Sime Darby Bhd menjangkakan permintaan untuk minyak sawit lestari (CSPO) akan berkembang sekurang-kurangnya 25 peratus menjelang pelaksanaan peraturan pelabelan makanan Kesatuan Eropah pada 2015.

Naib Presiden Kanan Kedua dan Ketua Perdagangan Global dan Pemasarannya, Jasni Ahmad berkata, peraturan itu menetapkan pengeluar makanan melabelkan minyak sayuran yang digunakan dalam produk makanan mereka.

"Ini memberikan kelebihan daya saing kepada CSPO kerana ia telah disahkan memenuhi amalan pertanian yang baik, yang memenuhi tanggungjawab sosial dan alam sekitar, yang sekali gus menolak kempen negatif terhadap minyak sawit," katanya.

Beliau berkata, permintaan untuk CSPO kini dipacu oleh Eropah, namun hanya untuk stearin sawit, pecahan pepejal minyak sawit yang digunakan secara meluas dalam produk makanan, dan oleh itu ia merupakan satu cabaran untuk mencari pasaran bagi olein sawit.

Stearin sawit hanya mewakili 20 peratus daripada jumlah minyak sawit, manakala 80 peratus lagi terdiri daripada olein sawit dalam bentuk cecair.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semalam semasa melawat Pulau Carey dan loji penapisan Sime Darby Jomalina, yang diperakui sebagai pengeluar tunggal CSPO sepenuhnya oleh Meja Bulat mengenai Minyak Sawit Lestari (RSPO), tahun lalu.

Sime Darby ialah anggota pengasas RSPO. Cabang perladangannya mematuhi Prinsip dan Kriteria RSPO yang membentuk asas kepada pensijilan RSPO yang terdiri daripada lapan prinsip dan 43 kriteria dengan 138 petunjuk.

Prinsip dan kriteria memastikan tiada hutan utama atau kawasan pemuliharaan bernilai tinggi dibersihkan untuk ladang baharu, ladang meminimumkan kesan ke atas alam sekitar selain memastikan hak asasi pemilik tanah tempatan, pekerja ladang dan Orang Asli dihormati sepenuhnya.

Jasni berkata, hampir 98 peratus ladang kelapa sawit Sime Darby diperakui oleh RSPO, dengan 100 peratus ladangnya di Malaysia sudah disahkan sepenuhnya.

Beliau berkata, antara cabaran yang dihadapi bagi memenuhi CSPO ialah daripada hampir 10 juta tan kapasiti pengeluaran tahunan dalam pasaran, hanya 52 peratus dibeli menerusi rantaian bekalan.

"Jurang antara bekalan dan permintaan bagi CSPO disebabkan oleh beberapa cabaran lain.

"Antaranya kesukaran logistik rantaian bekalan minyak kelapa sawit, kurangnya kesedaran mengenai kaedah untuk industri mendapatkan CSPO serta derivatifnya dalam pasaran individu selain kesedaran pengguna yang rendah.

"China dan India yang menjadi pengguna utama belum melaksanakannya. Kedua-dua negara itu kini memilih opsyen paling murah dalam pasaran dan bukannya produk lestari," kata Jasni.

Sementara itu, Ketua Sime Darby Jomalina, Tan Wee Teck berkata, kilang penapisan khusus sebagai pengeluar minyak premium, mendapati permintaan untuk produk keluarannya meningkat hampir 7.5 peratus tahun ini.

Kilang-kilang penapis merupakan hubungan penting dalam rantaian bekalan antara pemilik kepentingan huluran (penanam dan kilang-kilang) dan hiliran (pengeluar makanan).

"Jomalina, sebagai pengeluar khusus CSPO, mempunyai kelebihan dalam menghasilkan produk premium memandangkan bekalan disediakan oleh RSPO yang disahkan serta sumber input yang ditetapkan.

"Bekalan CSPO dibekalkan oleh 12 kilang khusus milik Sime Darby Plantation yang memproses buah tandan segar dari 38 ladang Sime Darby yang disahkan lestari," kata Tan.

Beliau berkata, minyak sawit yang dihasilkan oleh ladang Sime Darby berkualiti tinggi dengan asid lemak bebas yang sangat rendah iaitu kurang 1.2 peratus berbanding standard industri yang tidak melebihi lima peratus.

Jomalina, kilang penapis terbesar daripada tiga RSPO yang diperakui di dunia, bersedia memenuhi keperluan pemilik kepentingan hiliran dalam membekalkan minyak sawit ditapis lestari.

"Dengan keupayaan untuk memproses 1,300 tan setiap hari atau 330,000 tan metrik setahun, kita mampu memenuhi permintaan daripada pelanggan Eropah (40 peratus) dan tempatan (60 peratus). Kontrak terkini untuk produk berlogo RSPO, dipesan oleh Amerika Syarikat," kata Tan.


Artikel Lain