suria

SSMI Labur RM50,000, Beli Stok Pokok Bunga Menjelang Aidilfitri

Ros antara pokok yang akan dibeli syarikat SSMI sebagai persiapan menjelang Aidilfitri.

KUALA TERENGGANU: Syarikat Seri Manir Interprise (SSMI), pembekal benih tanaman tempatan, akan melabur RM50,000 pada awal Julai ini berbanding RM30,000 pada kebiasannya untuk membeli pokok bunga dari luar negeri ini dan dijual di pasaran tempatan.

Pengurus SSMI, Rofie Ali berkata, pokok bunga tersebut akan dibeli dari Cameron Highlands, Sungai Buloh di Selangor, Johor dan Thailand.

"Kami menjangkakan cuaca panas di sini pada Julai dan cuaca begitu sesuai untuk pokok berbunga yang akan menarik minat orang ramai terutama suri rumah menghias rumah sempena Hari Raya Aidilfitri," katanya kepada Bernama.

Menurut Rofie, SSMI menjangkakan pokok seperti bunga ros, orkid, cempaka, kekwa, Marigold, pokok bunga kertas, kemboja, Jasmine Thai, bonzai dan Daisy akan mendapat sambutan dalam kalangan penggemar bunga di Terengganu.

Rofie berkata, SSMI tidak menghadapi masalah untuk membeli pokok bunga dalam kuantiti yang banyak kerana SSMI mempunyai tapak semaian sendiri yang agak luas bagi menampung pelbagai pokok.

"Tapak semaian SSMI menempatkan beribu jenis pokok bunga dan buah-buahan yang dianggarkan bernilai lebih RM100,000," katanya.

Beliau berkata, syarikat itu turut menjual benih pokok bunga berharga daripada RM3 hingga RM300 sepokok, bergantung kepada jenis pokok bunga yang dipilih.

Artikel Lain