suria

PIPC Akan Diteruskan - TPM

NUSAJAYA: Projek pembangunan Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC) di sini akan tetap diteruskan meskipun terdapat pertikaian tanah antara pemilik tanah, kerajaan negeri serta pemilik projek Petroliam Nasional Bhd.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata projek berkepentingan awam harus diteruskan walaupun prosiding mahkamah masih berlangsung.

"Ikut peraturan tanah, projek yang dikatakan projek awam itu, ada kepentingan awam, boleh diteruskan di peringkat mana mahkamah masih bicara kerana ia tak boleh disekat di bawah Kanun Tanah Negara."

"Saya tidak rasa ia (projek PIPC) akan terhalang dengan masalah sebegitu," kata beliau kepada pemberita selepas taklimat kerajaan negeri mengenai pelan pembangunan negeri termasuk pembangunan Wilayah Iskandar di Kota Iskandar pada Selasa.

Muhyiddin berkata demikian ketika mengulas mengenai kemungkinan PIPC akan ditangguhkan berikutan pertikaian tanah.

Turut hadir ialah Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar Datuk Ismail Ibrahim.

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata pertikaian adalah perkara biasa dalam mana-mana pengambilalihan tanah untuk projek.

"Itu perkara biasa. Bila kita mengambil alih tanah, pasti ada pertikaian, mungkin dari segi harga dan sebagainya. Itu kita serahkan kepada mahkamah untuk menentukan dan kita akan patuh dengan apa-apa keputusan mahkamah," kata beliau.

Menurut laporan berita hari ini, Kelana Megah Development Sdn Bhd telah memfailkan saman mendakwa bahawa tujuh bidang tanah miliknya secara haram telah dipindahkan di bawah pengambilan tanah wajib bagi Loji Penapisan dan Pembangunan Bersepadu Petrokimia projek (RAPID) yang merupakan sebahagian daripada projek Pengerang.

Laporan itu juga menyebut syarikat induk, Kelana Megah, MPHB Capital telah mendakwa tanahnya telah diperoleh kerajaan negeri tanpa mengikut undang-undang pada harga 93 sen sekaki persegi walaupun ada persetujuan antara pihaknya dan Petronas untuk membeli tanah pada harga RM8 sekaki persegi.

Tanah itu dikatakan terdiri daripada kira-kira 45 peratus jumlah tanah yang diperlukan untuk projek RAPID.


Pengerang, PIPC

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain