suria

Jaya Section Fourteen Sasar Pusat Beli-Belah Kejiranan

Jaya Shopping Centre kini dibuka kepada orang ramai selepas ditutup pada 2009.
PETALING JAYA: Jaya Section Fourteen Sdn Bhd, pemaju Jaya Shopping Centre, merancang untuk memperoleh lebih banyak pusat beli-belah kejiranan sebagai sebahagian daripada pelan pelaburannya, kata Pengarahnya Ismail Ani.

"Kami mempunyai sejumlah dana yang telah diamanahkan oleh dana hartanah persendirian kami untuk mencari aset sama seperti Jaya Shopping Centre," katanya kepada pemberita selepas pembukaan semula pusat beli-belah itu yang telah dinaik taraf.

Beliau juga berkata, tumpuan pusat beli-belah di Lembah Klang menjadi sebab utama syarikat menumpukan kepada pusat beli-belah kejiranan sebagai portfolio pelaburan.

"Bagaimanapun, semuanya bergantung kepada peruncit dan lokasi aset kami yang akan datang yang akan berdasarkan kepada keutamaan mereka," katanya.

Sementara itu, pemaju tersebut membelanjakan RM400 juta bagi pembukaan semula Jaya Shopping Centre yang ditutup pada 2009 bagi tujuan pembangunan semula.

Dibuka kepada umum pada 28 April, penyewa utamanya ialah rangkaian pasar raya Cold Storage Malaysia dan TGV Cinemas Sdn Bhd.

Penyewa lain termasuk jenama tempatan seperti Chapter One Bookstore, CIMB Bank, Hings Watch, Poh Kong, Poya dan Serai.

Lebih 80 peratus daripada 270,000 kaki persegi bagi ruang boleh disewa, disewa oleh kedai makanan dan minuman yang menawarkan perkhidmatan dan produk berkaitan kecantikan dan kesihatan, gaya hidup dan hiburan.

Jaya Shopping Centre membentuk sebahagian daripada portfolio milik kepada dana hartanah persendirian yang dikendalikan oleh Cimb-Mapletree Management Sdn Bhd, usaha sama antara Kumpulan CIMB dan Mapletree Investments dari Singapura.


Artikel Lain