suria

AllianceDBS Kekal Saranan Beli Dayang Enterprise

KUALA LUMPUR:AllianceDBS Research mengekalkan saranan 'beli' ke atas Dayang Enterprise Holdings Bhd pada harga sasaran RM4.55 sesaham, berdasarkan kedudukan jelas pendapatannya, lembaran imbangan yang bersih dengan kedudukan tunai bersih dan rekod pelaksanaan kerja yang kukuh.

Dalam notanya pada Isnin, AllianceDBS Research menjangkakan tahap kerja untuk kontrak 'hook-up' dan pengoperasian (HCM) di Malaysia yang diluluskan kepada Dayang Enterprise Mei lepas akan rancak pada suku akan datang.

Firma penyelidikan itu yakin Dayang Enterprise akan dapat melaksanakan projek itu.

"Sebagai penerima terbesar nilai kontak RM10 bilion HCM seluruh Malaysia itu, pendapatan Dayang dijangka kukuh dengan anggaran RM4 bilion projek dalam tangan," kata AllianceDBS.

Dayang Enterprise menggunakan lima daripada enam kapal yang dipajaknya daripada syarikat sekutu, Perdana Petroleum Bhd, untuk menyokong aktiviti HCM yang diperbesarkan itu.

"Berdasarkan akses kepada kumpulan kapal Perdana, kami menjangkakan kumpulan ini mampu melaksanakan lebih banyak kontrak sebagai tambahan kepada projek dalam tangan sedia ada," kata AllianceDBS.

Pada 12.04 tengah hari, harga saham Dayang Enterprise susut enam sen kepada RM3.50, dengan 333,000 saham bertukar tangan.


Dayang Enterprise, kapal, petroleum

Artikel Lain