suria

Motorola Pikat Pelanggan Menerusi Peranti Baharu

SINGAPURA: Dalam usaha meningkatkan pelanggannya kepada penyelesaian generasi baharu bagi tempoh beberapa tahun akan datang, Motorola Solutions Malaysia Sdn Bhd akan menumpukan kepada penyelesaian keselamatan awam dengan pengenalan Motorola LEX 755 terbaharu, peranti Misi Kritikal Bimbit.

Syarikat yang disenarai di Bursa Saham New York itu adalah penyedia utama bagi perkhidmatan dan penyelesaian komunikasi misi kritikal bagi pelanggan perusahaan dan kerajaan.

Presiden Negara Mohd Rauf Nasir berkata LEX 755 bertujuan menyokong usaha keselamatan awam dan membolehkan agensi seperti polis, ambulan, bomba dan pertahanan awam, dimaklumkan mengenai kejadian sebaik ia berlaku dan bertindak balas dengan lebih cekap.

"Dalam memberi tindak balas kepada insiden berkaitan keselamatan awam, LEX 755 menyediakan peranti yang tahan lasak untuk komunikasi yang boleh dipercayai dan operasi yang mudah apabila mereka amat memerlukannya.

"Bersama dengan peranti data dan suara canggih, LEX 755 membantu pasukan penyelamat untuk bersedia bagi kemungkinan yang akan datang," katanya, sambil menambah bahawa ia akan memastikan unit tersebut bersedia untuk digunakan dan diperlukan.

Bercakap kepada pemberita sempena pameran Komunikasi Kritikal Dunia 2014 di Singapura, beliau berkata syarikat merancang untuk membantu pelanggannya beralih daripada kedudukan hari ini kepada penggunaan data dan video yang semakin menjadi keperluan.

Apabila ditanya sama ada terdapat negara lain melaksanakan peranti untuk agensi keselamatan awam, Mohd Rauf berkata LEX 755 dilancarkan hanya pada minggu ini dan minat terhadap produk mula diterima.

"Bagi Malaysia, kita tidak begitu jauh di belakang. Kita boleh katakan bahawa kerajaan kita dan agensi keselamatan awam sedang mengenal pasti peranti sedemikian bagi membolehkan mereka meningkatkan keupayaan dan tindak balas mereka.

"Sebagai penyedia utama bagi penyelesaian komunikasi misi kritikal, Motorola Solutions percaya ia adalah tanggungjawab kami untuk memberi kesedaran kepada kerajaan serta agensi keselamatan awam mengenai perkembangan, produk dan penyelesaian terbaharu yang boleh didapati," katanya.

Mohd Rauf juga berkata memandangkan LEX 755 adalah peranti misi kritikal yang menyokong generasi komunikasi keempat, jalur lebar yang tinggi diperlukan untuk menghantar data dan video.

Video memerlukan jalur lebar yang tinggi untuk proses penghantaran, dan untuk berbuat demikian, komunikasi data tanpa wayar berkelajuan tinggi seperti 4G LTE (Evolusi Jangka Panjang Generasi Keempat) diperlukan, katanya.

Di kawasan komersil di Malaysia, syarikat telekomunikasi swasta telah menyediakan perkhidmatan 4G LTE.

"Bagi tujuan keselamatan awam, kami membangunkan prasarana 4G LTE keselamatan awam yang mampu menghantar maklumat kepada rangkaian tanpa sebarang gangguan," katanya, sambil menambah kerajaan Amerika Syarikat memutuskan untuk menyediakan spektrum 700 megahertz untuk digunakan oleh organisasi perkhidmatan awam mereka.

Beliau juga berkata prasarana 4G LTE keselamatan awam diperlukan untuk mengelak kesesakan semasa krisis atau acara yang memerlukan komunikasi misi kritikal.

"Negara kita belum melaksanakan prasarana 4G LTE keselamatan awam, bagaimanapun, kerajaan ketika ini sedang membincangkan kemungkinan mengenai perkara ini dan berhasrat untuk beralih ke arah itu," katanya.

Motorola Solutions, yang telah melabur RM4 bilion bagi tempoh selama 40 tahun di Malaysia, turut menyediakan penyelesaian komunikasi misi kritikal kepada pembuatan dan logistik, penjagaan kesihatan, hospitaliti dan sektor minyak dan gas negara. 


Motorola

Artikel Lain