suria

China Daily Asia Weekly Akhbar Terbaharu Kerjasama ePaper CIMB-ASEAN

(Dari kiri) Pengerusi Star Publications (M) Bhd, Datuk Fu Ah Kiow, Nazir, Huang Huikang, Wong Chun Wai dan Zhang Haizhou di majlis pelancaran kerjasama ePaper CIMB-ASEAN dengan China Daily Asia Weekly di Menara Star, di sini, Jumaat.

PETALING JAYA: China Daily Asia Weekly adalah akhbar terbaharu yang menjadi sebahagian daripada kerjasama ePaper CIMB-ASEAN, sekali gus rakan kongsi The Star yang tepat pada masanya sempena ulang tahun ke-40 hubungan dua hala antara Malaysia dan China.

Akhbar mingguan itu akan diedarkan secara percuma dalam bentuk digital kepada 80,000 pelanggan ePaper The Star dengan memaparkan berita terkini yang lebih tepat di sekitar China dan Asia Pasifik.

Pelancaran kerjasama ePaper  CIMB-ASEAN disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB, Datuk Seri Nazir Razak dan disaksikan Duta Besar China ke Malaysia, Huang Huikang.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif The Star, Datuk Seri Wong Chun Wai berkata, kerjasama seumpama ini adalah yang pertama dalam sejarah negara, malah ia berlangsung pada detik bersejarah.

"Malaysia dan China akan menyambut ulang tahun hubungan istimewa yang terjalin selama 40 tahun dan hari ini pula, kita meraikan hubungan antara dua kumpulan media.

"Gabungan pembaca daripada kedua-dua China Daily Asia Weekly dan The Star tentu akan menambah bilangan pembaca ePaper.

"Semalam, rakyat Malaysia mengalu-alukan kedatangan dua panda, Feng Yi dan Fu Wa  dan hari ini kami menyambut kedatangan China Daily dalam kerjasama ePaper CIMB-ASEAN," kata Chun Wai.

Penolong Penerbit China Daily Asia Weekly, Zhang Haizhou pula berkata, kehilangan pesawat MH370 mengakibatkan kedua negara menyerang satu sama lain, malahan ia menyebabkan orang ramai lupa bahawa Malaysia dan China adalah rakan kongsi.

"Kita perlukan landasan yang kukuh dan boleh dipercayai untuk menghubungkan jurang persefahaman yang wujud dalam kalangan orang ramai, oleh itu kita mewujudkan ikatan dengan The Star. Kini kita adalah utusan antara dua negara, menyampaikan berita yang baik untuk meningkatkan persefahaman antara satu sama lain," kata Zhang.

Bulan lalu, Nazir melancarkan kerjasama ePaper CIMB-ASEAN  yang pertama seumpamanya di rantau ini, membabitkan akhbar dari empat negara Asia Tenggara iaitu The Star, The Nation (Thailand), The Jakarta Post (Indonesia) dan Philippines Inquirer (Filipina) di Menara Star.

Nazir berkata, inisiatif yang digerakkan oleh Chun Wai ini sesuatu yang sungguh hebat dan sehingga kini melepasi jangkauan apabila pelanggannya mencecah 80,000.

"Malaysia adalah negara pertama di Asia Tenggara yang membentuk hubungan dengan China dan kami berbesar hati menyokong usaha ini kerana ia membantu orang ramai melihat dunia daripada pelbagai perspektif," katanya.

Huikang bersetuju dengan Nazir, sambil Chun Wai menambah bahawa media adalah jambatan untuk persefahaman yang lebih baik antara kedua negara.

"Internet adalah saluran penting untuk bertukar-tukar maklumat dan kerjasama antara The Star dan China Daily Asia Weekly ini umpama kerjasama dua gergasi," kata Huikang.

Turut hadir, Pengarang China Daily Asia Weekly, KS Chan; Presiden Persatuan Persahabatan Malaysia-China, Datuk Abdul Majid Ahmad Khan; Timbalan Setiausaha Agung, Persekutuan Persatuan China Malaysia, Datuk Dr Chin Yew Sin; Presiden Dewan Perniagaan Malaysia-China, Datuk Bong Hon Liong dan Ketua Pemuda Persekutuan Dewan Perniagaan dan Perindustrian China, Datuk Ng Yih Pyng.

Selain itu, ahli perniagaan yang hadir pada majlis itu termasuk Pengarah Kumpulan Eco World Development, Tan Sri Liew Kee Sin; Pengerusi Eksekutif i-Berhad, Tan Sri Lim Kim Hong; Pengarah Urusan Kumpulan Mah Sing dan Ketua Eksekutifnya, Tan Sri  Leong Hoy Kum dan Pengarah Urusan Kumpulan LBS Bina,  Datuk Seri Lim Hock San.

Artikel Lain