suria

LHDN Sasar Kutip RM140.15 Bilion Pada 2014 - Ahmad Maslan

Ahmad Maslan

TELUK INTAN: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menyasarkan kutipan cukai sebanyak RM140.15 bilion tahun ini, berbanding RM128.9 bilion tahun lalu, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan.

Beliau yakin sasaran itu mampu dicapai memandangkan sehingga 30 April ini, sebanyak RM41.5 bilion sudah dikumpul.

Beliau juga berharap rakyat perlu melihat tanggungjawab membayar cukai sebagai satu kewajipan kepada negara dan tidak harus dianggap sebagai membebankan.

"Kita mahu rakyat melihat pembayaran cukai sebagai perkara positif dan pembayar cukai sebagai orang yang patriotik," katanya kepada pemberita selepas melawat cawangan LHDN Teluk Intan, di sini, Khamis.

Ahmad berkata, rakyat perlu memahami bahawa setiap ringgit yang dibayar melalui cukai dikembalikan kepada rakyat dalam bentuk perkhidmatan dan pembangunan.

Sementara itu, beliau juga berpuas hati dengan kutipan LHDN cawangan Teluk Intan yang berjaya mengutip RM350.5 juta tahun lalu, berbanding RM328 juta pada 2012.

"Terdapat 85,296 pembayar cukai termasuk individu dan syarikat di Teluk Intan. Saya ucapkan tahniah kepada LHDN cawangan Teluk Intan," katanya.

Menyentuh mengenai kedudukan daya saing Malaysia yang meningkat tiga mata ke tangga ke-12 dalam kalangan 60 negara (Laporan Tahunan Daya Saing Dunia), beliau berkata ia menunjukkan bukti kukuh pencapaian baik kerajaan pimpinan BN.

Tahun lalu Malaysia menduduki tempat ke-15 dalam Laporan Tahunan Daya Saing Dunia, yang dikeluarkan oleh Institut Pembangunan Pengurusan berpangkalan di Switzerland.


LHDN, Datuk Ahmad Maslan

Artikel Lain