suria

Syarikat Milik FGV Di AS Raih Perolehan RM658 Juta Pada 2013

BOSTON, Amerika Syarikat: Twin River Technologies-US, yang dimiliki sepenuhnya dan dikendalikan oleh FELDA Global Ventures Holdings (FGVH), meraih perolehan sebanyak RM658 juta (AS$204 juta) dan keuntungan RM61.6 juta (AS$19.1 juta) pada tahun lalu.

Pengerusi FGVH, Tan Sri Isa Samad berkata, keputusan memberangsangkan itu adalah hasil daripada harga bahan mentah yang agak baik dan jualan menggalakkan.

Beliau berkata, kilang oleo-kimia TRT USA di Quincy, dekat Boston, ketika ini memiliki 28 peratus bahagian pasaran di Amerika Syarikat dan menyumbang 4.5 peratus kepada pendapatan FGVH.

Isa berkata, strategi huluan FGVH adalah untuk menumpukan kepada di mana pelanggan berada.

"Amerika Syarikat merupakan pasaran besar dan strategi kami adalah untuk meningkatkan bahagian pasaran dan mungkin membuka kilang baharu.

"Ketika ini kami merupakan peneraju pasaran di bahagian timur, dan kami berharap dapat berkembang ke lebih banyak kawasan seperti Mexico," katanya semasa kunjungan beliau ke kilang tersebut di sini yang dibeli FGVH pada 2007.

Turut hadir ialah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif FGVH Mohd Emir Mavani Abdullah dan Presiden dan CEO TRT-US Scott Chatlin.

Chatlin berkata, syarikat itu ketika ini sedang melaksanakan program pengembangan kapasiti bernilai RM42 juta (AS$13 juta) bagi mengukuhkan bahagian pasarannya, termasuk menguasai sektor koser atau halal AS.

"Pasaran kosher di AS melibatkan kuantiti 50,000 tan metrik setahun," kata Chatlin, sambil menambah dengan adanya keperluan kosher, syarikat itu juga boleh meneroka ke dalam industri farmaseutikal yang menguntungkan.

Kilang oleo-kimia TRT menghasilkan asid lemak dan produk gliserin yang diperoleh daripada lemak semula jadi dan minyak seperti minyak kelapa, minyak sawit dan lemak lembu.

Ia juga memiliki kapasiti pengeluaran asid lemak dan gliserin 160,000 tan metrik dengan Procter and Gamble, Unilever, Colgate, Goodyear dan BASF merupakan pelanggan utamanya.

Chatlin berkata, kilang itu yang terletak di kawasan tanah seluas kira-kira 15.8 hektar yang memiliki pelabuhan laut dalamnya sendiri dan terminal pukal, menyediakan kelebihan logistik dan mempunyai kos tenaga rendah kerana TRT menukar sumber tenaganya daripada diesel kepada gas asli pada November 2012.


Artikel Lain