suria

Bank Islam Sasar Buka 150 Cawangan Menjelang 2015

KUALA LUMPUR: BIMB Holdings Bhd (BHB) merancang untuk memanfaatkan pertumbuhan berterusan unit perbankan Islamnya dengan rancangan untuk mempunyai 150 cawangan di seluruh negara menjelang 2015.

Pengarah Urusan, Bank Islam Malaysia Bhd, Datuk Seri Zukri Samat berkata, bank itu sudah bersedia untuk membuka tujuh cawangan baharu pada tahun ini dan sembilan lagi pada 2015.

Bank itu kini mempunyai 134 cawangan di seluruh negara.

"Tahun ini, kami merancang untuk mempunyai tujuh cawangan baharu seperti di Wakaf Baharu, Gong Badak, Bandar Enstek, Bandar Sri Damansara, Jalan Chan Sow Lin dan satu di Johor," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat agung tahunan (AGM) kumpulan itu, Khamis.

Pengarah Urusan, BHB Group dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Johan Abdullah pula berkata, Bank Islam, yang merupakan anak syarikat milik penuh BHB selepas pengambilalihan 49 peratus kepentingan daripada Dubai Financial Group Berhad dan Lembaga Tabung Haji baru-baru ini, kini adalah pemacu penting pertumbuhan kumpulan itu.

Katanya, unit perbankan Islam itu dijangka meningkatkan lagi keuntungan bersih yang boleh diagihkan kepada pemegang saham syarikat dalam tahun kewangan 2014 dengan memberi fokus ke atas peningkatan pulangan dan mempercepatkan pertumbuhan akaun semasa dan akaun simpanan (CASA) melalui rangkaian cawangan yang luas.

Johan berkata, beliau menjangka peningkatan pertumbuhan pembiayaan daripada unit perbankan itu walaupun menghadapi pelbagai cabaran dan persaingan yang sengit daripada peserta industri lain.

Katanya, nisbah pembiayaan bank kepada nisbah deposit sebanyak 65 peratus masih rendah berbanding dengan purata industri, memberi ruang untuk pertumbuhan seterusnya, dan bank itu menyasarkan pencapaian 75 peratus menjelang 2015.

Zukri, ketika mengulas dari sudut segmen berkata, berkata selain bank terus memberi tumpuan kepada segmen pengguna margin tinggi sebagai pemacu utama, bank merancang untuk meningkatkan jangkauan kepada segmen-segmen korporat dan komersil.

Menurutnya lagi, menjelang akhir 2015, bank itu berhasrat untuk meningkatkan pembiayaan kepada segmen korporat dan komersil kepada 30 peratus daripada 25 peratus pada masa sekarang.

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2013, BHB mencatatkan keuntungan tergabung sebelum zakat dan cukai (PBZT) sebanyak RM833.1 juta, peningkatan 16.1 peratus atau RM115.7 juta berbanding tahun sebelumnya.

Bank Islam mencapai PBZT sebanyak RM677.3 juta bagi tahun kewangan 2013 iaitu peningkatan RM79.9 juta atau 13.4 peratus.

Unit takaful BHB iaitu Syarikat Takaful Malaysia Bhd mencatatkan PBZT sebanyak RM179.3 juta bagi tahun kewangan 2013 atau peningkatan sebanyak 42.9 peratus berbanding RM125.5 juta tahun lalu.

Johan berkata, keuntungan yang lebih tinggi di peringkat kumpulan yang telah dicapai telah disokong oleh hasil operasi yang tinggi iaitu sebanyak RM32.8 juta dan peningkatan RM73.5 juta dalam elaun untuk kekurangan pinjaman dan pendahuluan, pelaburan dan aset lain.

Kumpulan itu dijangka mengekalkan dasar pembayaran dividen sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keuntungan bersih peringkat syarikat, katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain