suria

Eksport Lampu Ke Jerman Berkembang

KUALA LUMPUR: Eksport Malaysia bagi produk lampu dan komponennya ke Jerman antara Januari dan Februari tahun ini berkembang sebanyak 33.93 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.

Dalam kenyataan, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) berkata eksport berkembang sebanyak 35.4 peratus tahun lepas.

Katanya statistik terkini menunjukkan Malaysia pantas mengukuhkan kedudukannya sebagai pengekport utama bagi produk lampu dan komponennya ke Jerman.

Pada 2013, jumlah nilai import Jerman bagi produk lampu berkembang sebanyak 5.17 peratus, sebahagian besarnya berikutan permintaan pasaran yang tinggi, dengan Malaysia sebagai penyumbang terbesar individu bagi tempoh itu.

Malaysia mengambil tempat tiga negara pengeksport utama, iaitu China, Austria dan Itali dari segi peratusan pertumbuhan eksport.

"Kebanyakan produk lampu adalah berkaitan dengan penyelesaian jimat tenaga dan secara umumnya mempunyai nilai tinggi," kata Pesuruhjaya Perdagangan Matrade Frankfurt S. Jai Shankar.

Jai berkata selain memberi tumpuan secara langsung kepada pasaran Jerman, pengeksport Malaysia juga perlu melihat untuk mengeksport ke Austria, Poland dan Republik Czech, berikutan negara-negara Eropah itu mempunyai hubungan dagangan yang rapat dengan Jerman.

Beliau berkata pengeksport Malaysia juga akan menemui potensi kukuh dalam pengeksportan produk berasaskan LED (diod pemancar cahaya) organik. 


Jerman

Artikel Lain