suria

MIDF Tawar Pembiayaan RM100 Juta Bantu PKS

SHAH ALAM: Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF) menawarkan dana pinjaman mudah berjumlah RM100 juta bagi membantu syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) melaksanakan dasar gaji minimum yang berkuat kuasa 1 Januari 2013.

Pengarah Urusan Kumpulan MIDF Datuk Mohd Najib Abdullah berkata peruntukan itu yang disalurkan kerajaan menerusi SME Corporation Malaysia (SME Corp) boleh dipohon syarikat berkenaan untuk meningkatkan automasi dan menambah baik proses pengkomersialan syarikat.

"Kita galakkan syarikat PKS memohon dana ini untuk pembelian mesin dan peralatan industri untuk meningkatkan produktiviti syarikat (berikutan pelaksanaan dasar gaji minimum)," katanya kepada pemberita pada Isnin.

Beliau ditemui selepas mengiringi Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Ir Hamim Samuri yang melawat syarikat Azman Hamzah Plastik Sdn Bhd (AHP) dan Industrial Quality Management Sdn Bhd (IQM) di sini.

Dasar gaji minimum RM900 sebulan di Semenanjung Malaysia dan RM800 sebulan bagi Sabah dan Sarawak, berkuat kuasa pada 1 Januari 2013, tetapi hanya dilaksanakan sepenuhnya Januari tahun ini.

Bagaimanapun, ada juga majikan diberi pengecualian lanjutan hingga 1 April lepas untuk melaksanakannya.

Mengulas lanjut, Mohd Najib berkata MIDF tahun ini menyalurkan dana berjumlah RM600 juta dalam bentuk skim pinjaman mudah bagi membantu dari segi automasi dan permodenan serta pembangunan automotif.

Bagi tahun lepas, katanya, sejumlah RM596 juta pinjaman diluluskan kepada 289 syarikat tempatan.

Sementara itu, Hamim ketika mengulas mengenai lawatannya ke syarikat AHP dan IQM berkata kedua-dua syarikat berkenaan yang merupakan syarikat vendor bagi mengeluarkan komponen kenderaan mempunyai daya saing yang tinggi serta berpotensi untuk maju.

AHP yang ditubuhkan pada 1989 merupakan pengeluar komponen automotif plastik untuk syarikat automotif besar seperti Proton, Perodua, UMW Toyota dan Isuzu, manakala IQM adalah pengeluar komponen logam untuk sektor automotif.


MIDF

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain