suria

Johor Sasar Pusat Projek Perintis Pertanian Negara

Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (dua, kanan) melihat pelbagai jenis nanas yang dipamerkan ketika melawat gerai jualan selepas merasmikan 'road to MAHA 2014' peringkat negeri Johor di Dataran Penggaram, Batu Pahat baru-baru ini.

JOHOR BAHARU: Johor berhasrat menjadi pusat bagi projek perintis pertanian negara bagi memastikan negeri ini mendapat faedah terlebih dahulu daripada hasil kejayaan projek-projek berkenaan.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata kerajaan negeri bersedia untuk bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) untuk menjadikan negeri ini sebagai tempat perintis projek-projek pertanian kementerian itu.

"Kalau Johor hendak kekal menjadi negeri pengeluar utama bahan makanan negara, kita tidak boleh lari daripada memperkenalkan dan membuat inovasi dalam kalangan petani dan mereka yang terlibat dengan pertanian.

"Dengan ini, Johor akan menjadi negeri pertama menerima apa-apa inovasi (dalam bidang pertanian) dan kejayaan daripada program-program perintis boleh kita jadikan sebagai projek kekal," kata beliau kepada pemberita ketika lawatan kerja ke pusat pengumpulan dan pemprosesan kupang di Kampung Pasir Gudang Baru dekat sini, Ahad.

Beliau berkata usaha ini juga selaras dengan inisiatif kerajaan negeri untuk memperbaiki serta memantapkan sektor pertanian yang turut memberi sumbangan besar kepada rakyat negeri ini.

Mohamed Khaled juga berkata kerajaan negeri kini dalam proses membangunkan daerah Segamat sebagai pusat berasaskan industri asas tani.

Beliau berkata penglibatan pihak lain seperti Johor Corporation dan BiotechCorp kini dalam proses mengenal pasti projek-projek pertanian yang boleh dibangunkan di daerah tersebut.

Dalam perkembangan lain, kerajaan negeri dan MOA bakal membangunkan 15 lokasi yang menempatkan pasar nelayan dan pasar tani kekal seluruh negeri.

Mohamaed Khaled berkata sebanyak empat lokasi bagi pasar nelayan telah dikenal pasti untuk dibangunkan tahun ini iaitu Kesang, Pontian, Benut dan Mersing.

Menyentuh mengenai pusat pengumpulan dan pemprosesan kupang yang masuk ke fasa kedua itu, beliau berkata kos pembangunan yang bernilai RM410,000 itu akan memberi faedah kepada komuniti sekitar.


Johor, Pertanian

Artikel Sebelum

Artikel Lain