suria

MAS Rangka Pelan Operasi Semula Akibat Rekod Buruk Sejak 2011

PETALING JAYA: Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) rangka pelan operasi semula untuk membaik pulih operasinya yang makin parah susulan kerugian dalam tempoh empat suku tahunan berturut-turut dengan rekod terburuk mencecah RM2.5 bilion pada 2011.

Pelan itu dikatakan dirangka sebelum berlakunya tragedi kehilangan pesawat MH370, 8 Mac lalu.

StarBiz  melaporkan perkara itu disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAS, Ahmad Jauhari Yahya pada sesi perjumpaan bersama pengurusan kanan syarikat itu baru-baru ini.

Perancangan terbaharu syarikat yang gagal mengaut keuntungan sepanjang tahun lalu dengan RM1.17 bilion itu bagi mengkaji semula jangkaan kewangan dan pelan perniagaannya.

Menurut Ahmad Jauhari, antara rancangan untuk membaikpulih keadaan syarikat adalah dengan mengurangkan kakitangan di mana kakitangan yang berhasrat terus berkhidmat akan diminta mematuhi syarat baharu.

Pelan ini bertujuan mengurangkan kos syarikat yang mempunyai hampir 20,000 kakitangan dengan memisahkan antara operasi pesawat dan bukan pesawat.

Bagaimanapun, langkah menawarkan skim pengasingan ini akan membawa kepada pembubaran kesatuan sekerja syarikat berkenaan.

Walaupun membabitkan isu besar seperti ini, pasukan elit dalam kalangan pengurusan tertinggi MAS ini dikatakan langsung tidak mengadakan perbincangan dengan Kesatuan Pekerja Sistem Penerbangan Malaysia (Maseu).

Pengumuman mengenai perancangan syarikat ini dijangka dibuat akhir bulan ini, bergantung kepada persetujuan ahli lembaga pengarah dan pelabur, manakala pelaksanaan skim itu pula dijangka bermula Julai ini.

Pasaran terbesar MAS iaitu China yang merangkumi 10 peratus pendapatan syarikat bagaimanapun makin merosot berikutan tragedi MH370, termasuk pembatalan penerbangan bukan saja ke negara itu, malahan di rantau Asia.

Kerugian bersih MAS meningkat kepada RM1.17 bilion tahun lalu berbanding kerugian bersih RM432.59 juta pada tahun sebelumnya.

Prestasi kewangan MAS pada suku keempat 2013 berakhir dengan kerugian bersih RM343.44 juta, berbanding dengan keuntungan RM51.37 juta yang dicatatkan oleh syarikat penerbangan itu bagi tempoh yang sama pada 2012.


Ahmad Jauhari Yahya, MAS, MH370

Artikel Lain