suria

Keuntungan Sebelum Cukai MISC Melonjak Kepada RM527 Juta

Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR: Keuntungan sebelum cukai MISC Bhd bagi suku pertama berakhir 31 Mac, 2014, melonjak kepada RM527.87 juta daripada RM349.15 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Ini disumbangkan oleh kadar tambang muatan yang lebih baik dan peningkatan jumlah aktiviti pemindahan minyak antara kapal dalam perniagaan petroleum.

MISC dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia pada Jumaat turut melaporkan kemerosotan hasil sebanyak RM2.29 bilion daripada RM2.38 bilion pada suku yang sama tahun lalu.

Kemerosotan 3.7 peratus hasil ini disebabkan oleh kurangnya nilai bayaran yang diterima oleh bahagian kejuruteraan berat berikutan banyak projek yang diceburi sudah hampir siap atau baharu sahaja bermula.

Perniagaan kimia yang digerakkan oleh sekumpulan kecil kapal pengangkut cecair MISC juga mencatatkan hasil yang rendah walaupun terdapat catatan hasil yang lebih tinggi untuk LNG dan minyak berikutan caj yang lebih baik.

Keuntungan operasi adalah 29 peratus lebih tinggi kepada RM504.3 juta berikutan peningkatan kadar tambang muatan dan peningkatan dalam aktiviti pemindahan dalam perniagaan petroleum.

Menyentuh masa depan syarikat itu, MISC berkata prospek petroleum dan bahan kimia terus mencabar disebabkan jumlah kapal sedia ada sekarang ini melebihi permintaan pasaran.

"Kontrak jangka panjang dalam perniagaan luar pesisir dan LNG terus memberikan kestabilan kepada kumpulan," kata MISC.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain