suria

Untung Sebelum Cukai Petronas Chemicals Group Bhd RM1.092 Bilion

KUALA LUMPUR: Petronas Chemicals Group Bhd mencatat keuntungan sebelum cukai sebanyak RM1.092 bilion pada suku pertama berakhir 31 Mac 2014, berbanding RM1.651 bilion dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Pendapatannya jatuh kepada RM3.806 bilion daripada RM4.455 bilion.

Dalam satu kenyataan pada Khamis, syarikat itu menjelaskan, ia sedang menjalankan aktiviti penyelenggaraan di pelbagai lojinya yang dimulakan pada suku ketiga 2013 dan dijangka selesai pada suku kedua tahun ini.

"Dengan itu kami akan menyiapkan kitaran aktiviti pemulihan berkanun untuk fasiliti utama dalam kedua-dua segmen perniagaan," kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Sazali Hamzah.

"Kami menjangka mencatat penggunaan loji yang lebih baik yang akan diterjemahkan kepada prestasi kewangan yang lebih baik mulai tahun ini," katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, pendapatan RM3.806 bilion itu dicapai berikutan jumlah jualan yang lebih tinggi sejajar dengan penambahbaikan dalam prestasi operasi, dengan utilisasi loji meningkat 80 peratus daripada 66 peratus dalam suku sebelumnya.

Sehubungan itu, keuntungan selepas cukai kumpulan melonjak kepada 68 peratus kepada RM839 juta dan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) melambung 75 peratus kepada RM1.2 bilion.

Margin EBITDA kekal kukuh pada 33 peratus.

Petronas Chemicals adalah peneraju pengeluar kimia bersepadu di Malaysia dan antara yang terbesar di Asia Tenggara.

Ia mengendalikan beberapa tapak pengeluaran bertaraf dunia yang bersepadu sepenuhnya daripada stok suapan petrokimia hingga ke produk hiliran.

Dengan gabungan kapasiti pengeluaran lebih 10 juta mtpa, pembabitan utamanya ialah pembuatan, pemasaran dan penjualan pelbagai jenis produk kimia, termasuk olefin, polimer, baja, metanol dan produk asas kimia dan derivatif lain.

Disenarai di Bursa Malaysia dan dengan hampir tiga dekat pengalaman dalam industri kimia, Petronas Chemcials ditubuhkan sebagai sebahagian daripada Petronas Group untuk memaksimumkan nilai daripada pelbagai sumber gas asli Malaysia.

Artikel Lain