suria

Firma Penyelidikan Optimistik Pertumbuhan Ekonomi

KUALA LUMPUR: Firma penyelidikan rata-ratanya optimistik dengan pertumbuhan ekonomi Malaysia bagi suku pertama 2014 susulan peningkatan kukuh eksport.

"Berdasarkan kepada perangkaan perdagangan terbaharu, kami mengunjurkan sumbangan eksport bersih kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebenar pada 7.9 peratus dalam suku pertama 2014," kata AmResearch dalam satu nota penyelidikan.

Imbangan perdagangan menyumbang 6.3 peratus kepada KDNK negara pada 2013, kata firma penyelidikan itu.

Pertumbuhan eksport kasar Malaysia menyederhana kepada 8.4 peratus tahun ke tahun kepada RM65.03 bilion pada Mac, mengakhiri peningkatan dua angka bagi tiga bulan berturut-turut.

Lebihan perdagangan kekal tinggi pada RM9.6 bilion walaupun rendah sedikit daripada lebihan perdagangan Februari pada RM10.4 bilion.

"Di masa depan, peningkatan eksport dijangka kekal menyokong pertumbuhan. Dari segi nominal, lebihan perdagangan dijangka berjumlah RM104.2 bilion pada 2014," kata firma itu sambil menambah unjuran tahun penuhnya bagi 2014 ialah 5.1 peratus.

Alliance Research berkata ia mengekalkan unjuran KDNK suku pertamanya pada 5.5 peratus, berbanding 5.1 peratus pada suku keempat 2013. Ia mengunjurkan pertumbuhan tahun penuh bagi 2014 ialah pada 5.0 peratus.

"Unjuran eksport dan import kami bagi 2014 kekal tidak berubah masing-masing pada 5.0 peratus dan 9.0 peratus, memandangkan jangkaan pemulihan permintaan luar dari ekonomi-ekonomi maju," kata firma penyelidikan itu.

Sementara itu, Hong Leong Investment Bank mengekalkan pertumbuhan KDNK sebenar bagi 2014 kekal kukuh pada 5.0 peratus tahun ke tahun dengan sumbangan positif daripada eksport bersih yang mengimbangi pertumbuhan permintaan domestik yang lebih sederhana.

Ia menjangka bank pusat mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 3.0 peratus sepanjang 2014 dan menangguhkan kenaikan kadar sehingga awal 2015. 


Alliance Research, KDNK

Artikel Lain