suria

IPO 7-Eleven Akan Catat Sejarah Penyenaraian Sektor Peruncitan Terbesar Negara

Tan Sri Vincent Tan (dua dari kanan) dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Kepenggunaan dan Koperasi, Datuk Seri Hassan Malek pada majlis pelancaran prospektus IPO 7-Eleven di Kuala Lumpur pada Khamis, 8 Mei 2014.

KUALA LUMPUR: Pengusaha rangkaian kedai serbaneka terbesar Malaysia, 7-Eleven Malaysia Holdings Bhd, dijangka dapat mengumpul RM731.85 juta daripada tawaran awam awal (IPO)nya pada 30 Mei ini.

Pengasas Berjaya Group yang juga pemilik 7-Eleven, Tan Sri Vincent Tan berkata, sebahagian besar pendapatan daripada IPO itu akan digunakan untuk menambah aset 7-Eleven dengan pembukaan sebanyak 600 kedai serbaneka baharu dalam tiga tahun akan datang dan bagi pengubahsuaian kedai-kedai sedia ada.

Beliau berkata, dana itu akan juga digunakan untuk menaik taraf sistem teknologi maklumat syarikat itu dan bagi pembinaan sebuah pusat pengedaran tergabung baharu (CDC) bagi keperluan kedai-kedainya.

"Kami percaya kami mempunyai strategi yang betul untuk memperkukuh kedudukan pasaran kami dan meningkatkan keuntungan kami.Pendapatan daripada IPO itu akan digunakan untuk membantu kami menyusun strategi," katanya pada pelancaran prospektus IPO itu di sini pada Khamis, yang dihadiri oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek.

Hingga kini, 7-Eleven mempunyai 1,583 buah rangkaian kedai di seluruh negara dan menguasai 82 peratus agihan pasaran kedai serbaneka di Malaysia.

IPO syarikat itu merupakan penyenaraian sektor peruncitan terbesar di negara ini, dengan tawaran sebanyak 530.32 juta saham yang terdiri daripada 248.94 juta saham sedia ada dan 181.38 juta saham baharu.

Setelah disenaraikan, permodalan pasaran 7-Eleven akan berjumlah kira-kira RM1.7 bilion.

Tan berkata, syarikat itu yakin tentang prospek segmen kedai serbaneka di Malaysia yang dijangka berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan tergabung sebanyak sembilan peratus dari segi bilangan kedai di antara 2013 dan 2018.

Di samping itu, kata beliau, segmen kedai serbaneka di Malaysia kurang berkembang berbanding negara-negara lain di Asia dan dunia.

"Contohnya, pada akhir 2012, ada hanya 131 kedai serbaneka bagi setiap sejuta orang di Malaysia, berbanding 192 kedai bagi setiap sejuta orang di Thailand. Ini menunjukkan dengan jelas potensi yang sangat besar bagi industri ini pada masa akan datang," katanya.

Pengerusi 7-Eleven Malaysia, Lena Tan Wai Foon, berkata syarikat itu akan membelanjakan RM270 juta hingga RM280 juta daripada pendapatan IPO itu untuk menaik taraf sistem teknologi maklumat dan pembinaan CDC.

Beliau juga berkata, syarikat itu juga akan membelanjakan RM80 juta setahun dalam tempoh tiga tahun akan datang untuk membuka 200 kedai setahun dan mengubahsuai kedai yang sedia ada.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain