suria

Malaysia 'Raja Coklat' Asia Menjelang 2020

KOTA KINABALU: Malaysia berhasrat menjadi raja coklat di rantau Asia menjelang 2020, kata Ketua Pengarah Lembaga Koko Malaysia (MCB) Dr Lee Choon Hui.

Beliau berkata dengan kepakaran yang dimiliki Malaysia dan kemajuan negara dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D), terutama dalam pengeluaran koko dan produk koko serta kerjasama daripada sektor swasta, aspirasi itu boleh menjadi kenyataan.

"Seperti yang diketahui, R&D Malaysia jauh maju ke hadapan. Malaysia kini mengeksport lebih banyak produk daripada bahan-bahan mentah, malah sehingga 2013, kita adalah pemimpin di rantau Asia dan Oceania (dalam pengeluaran produk koko).

"Sebenarnya harapan Malaysia ialah untuk menjadi raja coklat di Asia. Ini bermakna produk coklat akan dieksport dan Malaysia akan terus melaksanakan pembangunan produk dan inovasi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada mesyuarat ketujuh 'National Focal Point for the Asean Cocoa Club (ACC)' mengenai Kerjasama Asean dan Pendekatan Bersama dalam Skim Promosi Produk Pertanian dan Perhutanan, di sini, Rabu.

Beliau berkata ketika ini, Malaysia sedang melakukan yang terbaik untuk menangani beberapa masalah bagi mencapai misi tersebut.

Mengenai usaha MCB untuk menggalakkan pengeluaran koko di negara ini, Lee berkata kerajaan menawarkan insentif kepada petani terutama pekebun kecil di luar bandar yang berminat menanam koko.

Beliau berkata sebagai permulaan, petani akan diberi latihan dan bantuan pertanian seperti anak benih, baja dan kemudahan lain bernilai RM8,000.

Beliau berkata kerajaan akan menyokong mereka sehingga mampu untuk berdikari dalam tempoh lima tahun.
MCB, Koko

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain