suria

Perdagangan Malaysia Pada Mac Meningkat - Miti

KUALA LUMPUR: Jumlah perdagangan Malaysia pada Mac meningkat 4.6 peratus kepada RM120.46 bilion berbanding bulan sama tahun lepas, didorong oleh eksport yang tinggi berbanding import, menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Kementerian itu berkata jumlah perdagangan yang lebih tinggi dicatatkan dengan Singapura, yang meningkat RM2.21 bilion, Taiwan (RM1.64 bilion), Australia (RM1.06 bilion), Belanda (RM854.7 juta), Hong Kong (RM391.6 juta) dan New Zealand (RM366.3 juta).

Eksport pada Mac berkembang sebanyak 8.4 peratus berbanding tahun lepas kepada RM65.03 bilion dan import meningkat 0.5 peratus kepada RM55.43 bilion berbanding Mac 2013.

Lebihan dagangan meningkat 96.8 peratus kepada RM9.59 bilion pada Mac 2014.

Antara eksport utama ialah produk elektrik dan elektronik bernilai RM20.95 bilion, dengan syer 32.2 peratus daripada jumlah eksport, naik 6.2 peratus berbanding Mac 2013.

Eksport ke negara-negara Asean meningkat 10.9 peratus kepada RM18.47 bilion, merangkumi 28.4 peratus daripada jumlah eksport Malaysia pada Mac 2014.

"Peningkatan ini disumbangkan oleh kenaikan eksport keluaran petroleum ditapis, minyak sawit, barangan elektrik dan elektronik, barangan optik dan saintifik serta kimia dan bahan kimia," menurut kementerian dalam kenyataan.

Secara keseluruhan, kementerian itu berkata, eksport ke Kesatuan Eropah (EU) meningkat 14.1 peratus kepada RM6.04 bilion pada Mac 2014, disumbangkan terutamanya oleh kenaikan eksport ke Belanda, Jerman dan United Kingdom.

Jumlah import pada Mac 2014 meningkat 0.5 peratus kepada RM55.43 bilion berbanding Mac 2013.

Jumlah perdagangan Malaysia bagi tempoh Januari hingga Mac bernilai RM349.44 bilion, meningkat 8.3 peratus berbanding tempoh sama pada 2013.

Eksport meningkat 10.9 peratus kepada RM187.91 bilion manakala import mengembang 5.5 peratus kepada RM161.53 bilion manakala lebihan dagangan sebanyak RM26.39 bilion dicatatkan bagi tempoh tersebut.

Peningkatan ketara dalam perdagangan direkodkan dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini dengan China, meningkat 8.7 peratus, Asean naik 4.0 peratus, Jepun (6.0 peratus), Kesatuan Eropah (4.3 peratus) dan Amerika Syarikat (5.1 peratus).

Negara-negara lain yang mencatat peningkatan dalam perdagangan dengan Malaysia ialah Australia (naik 29.8 peratus), Taiwan (27.3 peratus), Hong Kong (25.2 peratus), Korea Selatan (9.7 peratus) dan Emiriah Arab Bersatu (18.3 peratus).

Perdagangan dengan Amerika Syarikat meningkat 5.1 peratus kepada RM27.39 bilion pada suku pertama 2014, sebahagian besarnya disumbangkan oleh produk elektrik dan elektronik sebanyak 3.0 peratus.

Jumlah import bagi tempoh January-Mac 2014 meningkat 5.5 peratus kepada RM161.53 bilion.

Kementerian itu berkata tiga kategori import utama mengikut penggunaan akhir ialah barang pengantara, barang modal dan barang penggunaan.

Barang pengantara bernilai RM32.24 bilion atau 58.2 peratus daripada jumlah import, turun 3.4 peratus.

Barang modal bernilai RM8.3 bilion atau 15 peratus daripada jumlah import, turun 8.8 peratus dan barang penggunaan, menyumbang RM4.36 bilion atau 7.9 peratus daripada jumlah import, meningkat 19.6 peratus, menurut kementerian itu.

Miti, Malaysia

Artikel Sebelum

Artikel Lain