suria

Petronas Gas Sedia RM6 Bilion Modal Untuk 5 Tahun

Yusa (tengah) bersama Anuar (kiri) and Pengurus Besar Petronas Gas, Aida Aziza Mohd Jamaludin pada sidang media, Isnin.

KUALA LUMPUR: Petronas Gas Bhd memperuntukkan RM6 bilion bagi perbelanjaan modal untuk lima tahun akan datang.

Daripada jumlah itu, 60 peratus akan dibelanjakan untuk 'projek pertumbuhan' seperti terminal regasifikasi di Pengerang.

"Selebihnya untuk projek sedang dilaksana untuk membantu operasi loji, peremajaan dan proses penyelenggaraan," kata Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Yusa' Hassan kepada pemberita selepas mesyuarat agung tahunan syarikat itu, di sini, Isnin.

Turut hadir di mesyuarat itu ialah Pengerusi Petronas Gas, Datuk Anuar Ahmad.

Yusa' berkata, tahun ini sahaja, Petronas Gas akan membelanjakan RM800 juta untuk peremajaan loji dan proses penyelenggaraan.

Sementara itu, Anuar berkata, syarikat menjangka terminal regasifikasi gas asli cecair (RGT) di Sungai Udang, Melaka akan menyumbang sehingga 10 peratus kepada keuntungan syarikat dalam tahun pertama operasi penuhnya tahun ini.

RGT yang memulakan operasi dalam suku kedua tahun lalu itu menyumbangkan kira-kira lima peratus atau RM163.5 juta kepada keuntungan Petronas Gas dalam tahun kewangan 2013.

Yusa' berkata, stesen janakuasa yang 60 peratus dimilikinya di Kimanis, Sabah dijangka mula beroperasi dalam suku kedua atau ketiga tahun ini.Menurutnya, stesen janakuasa elektrik itu diunjur menyumbang kira-kira tiga atau empat peratus kepada keuntungan syarikat menjelang 2015, tahun pertama ia beroperasi sepenuhnya.

Baki pegangan 40 peratus dimiliki NRG Consortium (Sabah) Sdn Bhd, cabang perniagaan Yayasan Sabah.

Dalam perkembangan lain, Yusa' berkata, keputusan pelaburan akhir mengenai Pengerang RGT akan dibuat pada suku ketiga tahun ini.

Katanya, kemudahan RGT itu akan membantu Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan dan Petrokimia (Rapid).

Satu lagi RGT di Lahad Datu, Sabah masih menunggu kelulusan daripada kerajaan.

Untuk tahun kewangan berkahir 31 Disember 2013, Petronas Gas mencatat hasil dan keuntungan selepas cukai tertinggi masing-masing RM3.89 bilion dan RM2.07 bilion.

Jumlah aset berkembang kepada RM13.22 bilion daripada RM12.43 bilion pada tahun sebelumnya.

Syarikat itu juga membayar dividen tertinggi sebanyak 55 sen bagi setiap saham biasa, meningkat 14 peratus daripada 2012.


Artikel Lain