suria

Jagung Hibrid Sabah Jana RM8.7 Juta Setahun

KOTA KINABALU: Sabah berpotensi memperolehi RM8.7 juta setahun hasil penanaman jagung hibrid, kata Pengerusi Majlis Perniagaan Kawasan Pertumbuhan Asean Timur Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA), Datuk Roselan Johar Mohamed.

Beliau berkata, berdasarkan penanaman komersil lebih 404.68 hektar tanah, keuntungan yang boleh diperlohehi daripada tanaman itu ialah kira-kira RM2.9 juta setiap tuaian.

"Jagung hibrid memerlukan 92 hari untuk dituai dan ini membolehkan tiga penuaian setahun. Ini bermakna aliran tunai adalah lebih baik dan berfaedah untuk peladang.

"Ini adalah berita yang sangat baik untuk peladang kita yang mungkin mempunyai tanah terbiar untuk diusahakan dan menambah pendapatan isi rumah," katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Roselan berkata, pengenalan jagung hibrid dibangkitkan ketika mesyuarat BIMP-EAGA di Manado, Indonesia dan Davao, Filipina baru-baru ini yang menekankan pengenalan inovatif jagung hibrid, jenis organisme diubah suai bukan genetik (GMO).

Menurutnya, melalui Dewan Perniagaan Bumiputera Sabah (DPBS), peserta utama dalam pelbagai mesyuarat BIMP-EAGA, penentang jagung hibrid mengadakan penyampaian kepada Pusat Penyelidikan Pertanian di Tuaran baru-baru ini dan dihadiri lebih 60 pakar pertanian.

Beliau berkata, penanaman jagung hibrid adalah penyelesaian kedua terbaik selepas pertanian kontrak yang diamalkan di Sabah, yang sudah terhapus.

Daerah Tuaran kini menghasilkan jagung manis berikutan kejayaan pembelian oleh seorang pemilik francais.

"Mungkin sekarang adalah masa terbaik memulakan semula tanaman itu kerana masa penuaian telah dipendekkan dan harga jagung telah meningkat.

"Keperluan baja juga dipermudahkan dengan pengenalan nutrien tanaman, Biojadi, dalam bentuk semburan daun," kata Roselan.

Menurutnya, jagung padang hibrid mempunyai biji yang lebih besar dan berat dan sangat ideal untuk ramuan utama dalam tumbuh-tumbuhan untuk kilang makanan haiwan.

"Kejayaan penanaman jagung padang dalam jumlah yang banyak akan memerlukan pembinaan kilang makanan haiwan di Sabah dalam masa terdekat.

"Jika semuanya berjalan lancar, Sabah boleh mengeksport makanan haiwan ke Semenanjung Malaysia," katanya.

Roselan berkata, Malaysia tidak seharusnya ketinggalan dalam pengeluaran hasil pertanian sejajar dengan pertambahan penduduknya.

Merujuk kepada pengalaman Filipina, beliau berkata, negara itu sebelum ini adalah pengimport jagung, tetapi dalam jangka masa singkat berjaya membuka tanah untuk penanaman jagung bagi mengatasi masalah berkenaan.

Artikel Sebelum

Artikel Lain