suria

Suhaim International Sasar Jualan 100,000 Tap Genius Setahun

Noorainee (tengah) melancarkan fungsi Tap Genius di sini, Jumaat. Hadir sama Pengarah Urusan Edukid Distributors Sdn Bhd, Rasul (kanan).

KUALA LUMPUR: Suhaim International Sdn Bhd mensasarkan jualan Tap Genius, pen baca inovatif yang mampu membaca lebih 200 buku secara interaktif sebanyak 100,000 unit setahun.

Pengarah Operasinya, Khairullah Khan Zafrullah Khan berkata, Tap Genius yang akan mula dipasarkan 20 Mei ini adalah inovasi terbaharu keluaran syarikat tempatan dan dijual pada harga RM239 seunit.

"Tap Genius ini boleh membaca lebih 200 buku daripada pelbagai penerbit tempatan dan antarabangsa yang mana dengan satu pen sahaja ia mampu membaca pelbagai buku. Ia juga berkonsepkan pembelajaran Islamik interaktif yang diprogramkan untuk bercerita dan berinteraktif dan amat bersesuaian bagi kanak-kanak berumur empat sehingga 12 tahun," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran pen baca inovatif itu sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2014 di sini, Jumaat. Majlis disempurnakan isteri Timbalan Perdana Menteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.

Khairullah Khan berkata, syarikat itu juga bekerjasama dengan sekolah dan agensi berkaitan bagi mempromosikan Tap Genius dalam kalangan pelajar sekolah rendah.

Beliau berkata, bagi perancangan masa depan, pihaknya berhasrat  mengembangkan penjualan Tap Genius ke pasaran antarabangsa seperti Jerman, Australia, United Kingdom, New Zealand dan Indonesia.

"Kami sudah bersedia untuk tempoh lima tahun akan datang yang mana sudah ada penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang dirancang untuk Tap Genius ini.

"Negara seperti Australia, United Kingdom, Jerman, dan Indonesia ada menyatakan minat untuk menempah Tap Genius ini tetapi kami masih dalam proses R&D bersama penerbit buku negara ini yang berminat untuk berkoloborasi dengan kita untuk disesuaikan dengan bahasa dan budaya negara masing-masing," katanya.

Suhaim International yang ditubuhkan pada akhir 2012 terbabit dalam bidang pembangunan perisian dan perkakasan untuk pembelajaran Islamik interaktif kepada golongan muda dan dewasa.


Artikel Lain