suria

Resort World Kijal Tambah 119 Bilik dan Restoran

KEMAMAN: Resorts World Kijal (RWK), hotel bertaraf lima bintang dekat Kijal di sini, akan menaik taraf 119 buah bilik penginapan dan Restoran Kampung Meraga Berisnya, pada tahun ini agar sesuai dengan citarasa pelanggannya.

Pengurus Besar RWK Noorazzudin Omar berkata bilik penginapan kan diubah kepada konsep kontemporari sementara restoran pula bakal dinaik taraf menjadi lebih moden tetapi masih mengekalkan ciri-ciri kampung.

"Buat masa ini, kita masih dalam peringkat mereka bentuk dan kerja naik taraf itu dijangka dapat dimulakan pada Julai atau Ogos depan....sebolehnya, kita mahu ia disiapkan sebelum musim tengkujuh pada penghujung tahun ini.

"Ia adalah daya tarikan terbaharu untuk pengunjung selain kemudahan sedia ada termasuk kolam renang, padang golf 18 lubang yang bertaraf antarabangsa dan sering menjadi lokasi kejohanan besar setiap tahun, spa, gimnasium dan gelanggang tenis," katanya.

RWK memiliki 340 bilik penginapan dengan kira-kira 60 peratus daripada pengunjung resort itu terdiri daripada tetamu korporat, kebanyakannya dari industri minyak dan gas sementara 12 peratus lagi merupakan pengunjung yang menginap dalam tempoh lama.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sasaran pihaknya kini adalah untuk menjadikan resort itu tumpuan tetamu pada hari minggu.

"Terbaharu, kita perkenalkan pakej penginapan selama tiga hari dua malam di resort ini sejak 1 April lepas pada harga RM944.

"Lebih istimewa melalui pakej ini, mereka boleh melakukan aktiviti di laut iaitu berenang dan menyelam, perkhidmatan spa untuk dua orang dan baucar makan minum bernilai RM100," katanya.


Resort World Kijal, Kemaman

Artikel Lain