suria

Bursa Malaysia Perkenal Portal 'BURSAMKTPLC'

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia Bhd melancarkan "BURSAMKTPLC", portal dalam talian komuniti di laman www.bursamarketplace.com bagi meningkatkan pertumbuhan pembabitan runcit dalam bursa tempatan.

Portal berkenaan menyediakan data besar, penyelidikan dan nasihat pakar mengenai pasaran Malaysia untuk semua orang, kata Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Tajuddin Atan.

"Untuk pertama kali, sebuah bursa mengumpulkan di satu tempat semua peserta pasaran seperti broker serta penganalisis dalam perkongsian kerjasama untuk mengongsi penyelidikan, idea perdagangan untuk memperkasa rakyat Malaysia untuk melabur dan berniaga dengan yakin," katanya di majlis pelancaran berkenaan.

Pelancaran itu dirasmikan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah di sini, Isnin.

Tajuddin berkata, pelabur dan peniaga runcit akan mendapat manfaat kerana setiap orang kini mempunyai akses kepada data pasaran besar dan peralatan analitik, seperti peralatan kuantitatif AlphaFactor daripada S&P Capital IQ, yang sebelum ini terhad kepada pelabur institusi dan pakar.

"Melalui penggunaan media digital dan sosial, kita dihubungkan kepada pasaran baharu dengan membabitkan pelabur generasi baharu, terutama golongan muda yang berusia antara 25 dan 35 tahun," katanya.


Artikel Lain