Firma M'sia-AS Meterai MoU Cecah RM6.5 Bilion

Diterbitkan: Isnin, 28 April 2014 5:55 PM

Najib (dua dari kiri) bersama Obama (kanan) menyaksikan majis MoU antara Azman (kiri sekali) dan Townsend di sini, Isnin.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama menyaksikan majlis menandatangani perjanjian antara firma Malaysia dan AS bernilai kira-kira RM6.5 bilion (AS$2 bilion) dalam sektor penerbangan, bioteknologi dan insurans.

Obama dalam ucapannya berkata hubungan erat dalam perdagangan dan pelaburan antara Malaysia dan AS akan mewujudkan peluang pekerjaan dan ekonomi di kedua-dua negara.

"Semalam, kita bersetuju bagi perkongsian komprehensif baharu antara Malaysia dan Amerika Syarikat dan berusaha untuk mengembangkan ekonomi kita. AS sudah menjadi pelabur asing terbesar untuk negara ini dan Malaysia adalah pelabur yang paling pesat berkembang di Amerika Syarikat," katanya di sini, Isnin.

Mengenai masa depan, kedua-dua negara boleh mengharapkan pertumbuhan dan kemakmuran yang lebih baik lagi.

"Ini memerlukan komitmen dan peningkatan usaha, lebih bersaing, melabur lebih lagi, bukan sahaja di negara lain tetapi di seluruh rantau ini.

"Kita perlu melakukan lebih lagi untuk menggalakkan lebih banyak perdagangan dan ini termasuk mengurangkan beberapa halangan sedia ada bagi perdagangan dan pelaburan, menyokong perkongsian, eksport dan pekerjaan," katanya.

Sementara itu, pada majlis berkenaan, Memorandum Persefahaman (MoU) pertama ditandatangani antara GE Aviation dan AirAsia X bagi pemilihan enjin CF6-80E1 untuk 25 pesawat baharu Airbus A330-300 AirAsia X bernilai lebih RM4.9 bilion (AS$1.5 bilion).

Enjin akan termasuk perjanjian perkhidmatan penyelesaian OnPoint pelbagai tahun untuk penyelenggaraan enjin, pembaikan dan baik pulih.

Turut termasuk perjanjian ini, syarikat induk AirAsia menempah lebih 600 enjin GE.

MoU kedua pula bagi Sime Darby menguasai 30 peratus pegangan bernilai RM98 juta (AS$30 juta) dalam syarikat bioteknologi, Verdezyne, yang berpangkalan di San Diego.

Verdezyne akan menggunakan pelaburan untuk membiayai penyelidikan dan pembangunan di AS mengenai penggantian bahan yang diperoleh daripada petroleum dengan sumber yang boleh diperbaharu, mengurangkan pergantungan kepada minyak untuk mencipta produk digunakan secara meluas seperti plastik dan nilon.

Kedua-dua syarikat juga bersetuju untuk membangunkan proses baru bagi menukar hasil sampingan minyak sawit kepada pengganti petroleum boleh diperbaharu untuk tujuan industri.

MoU ketiga melibatkan perkongsian antara Ambank dan Metlife, yang melabur hampir RM817 juta (AS$250 juta) untuk membeli saham dalam AmLife dan AmTakaful.

Ini merupakan pelaburan pertama Amerika Syarikat dalam pasaran takaful Malaysia.

Ambank dan Metlife menjangka urus niaga itu akan menyokong pekerjaan dan meningkatkan kepakaran pekerja di Amerika Syarikat dan Malaysia.

MOU antara AirAsia X dan GE telah ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group Tan Sri Tony Fernandes dan Naib Pengerusi, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif GE Global Growth & Operations, John G. Rice.

Yang menandatangani MoU antara Sime Darby dan Verdezyne ialah Tan Sri Mohd Bakke Salleh, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby Bhd, dan Verdezyne Inc diwakili oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Bill Radany.

MoU antara AmBank dan Metlife pula ditandatangani oleh Pengerusi AmBank Group dan AmLife Insurance Bhd Tan Sri Azman Hashim dengan Metlife oleh Presiden bagi Asia, Christopher G. Townsend.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan