suria

Maybank Ageas Jangka Premium Meningkat

KUALA LUMPUR: Maybank Ageas Holdings Bhd, syarikat induk Etiqa Insurance Bhd dan Etiqa Takaful Bhd, menjangka jumlah premiumnya tahun ini meningkat kepada RM5.4 bilion susulan pasaran baharu dan pengembangan perniagaan, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Kamaludin Ahmad.

Ini berbanding dengan gabungan premium kasar perniagaan insurans hayat, insurans am, takaful keluarga dan takaful am sebanyak RM4.8 bilion yang dicatatkan tahun lepas.

Keuntungan sebelum cukai Maybank Ageas meningkat tujuh peratus tahun ke tahun kepada RM733.2 juta bagi tempoh yang sama.

Syarikat itu yang berkembang ke Singapura awal tahun ini, merancang melengkapkan produk insurans amnya di negara tersebut dengan pelancaran insurans hayat pada akhir tahun, kata Kamaludin kepada pemberita semasa taklimat mengenai keputusan kewangan Maybank Ageas, di sini, Isnin.

Maybank Aeges juga menyasar mengembangkan operasinya ke Indonesia dan Filipina di mana Maybank Group mempunyai operasi di negara-negara tersebut.

"Adalah suatu yang biasa bagi kami untuk mengikut jejak langkah kumpulan sebagai pelan pengembangan pengantara. Kami mencari peluang," katanya yang enggan mengulas mengenai bila rancangan itu akan dilaksanakan.

Maybank Aeges, yang ketika ini merupakan peserta keempat terbesar dalam segmen insurans kebakaran, menyasar untuk merebut peluang lebih besar dalam bahagian tersebut.

"Kesedaran dalam kalangan pasaran kediaman untuk memiliki insurans kebakaran masih rendah, dan kami mahu mengembangkan perniagaan menguntungkan ini," kata Kamaludin.

Syarikat itu juga merancang memperkenalkan lebih banyak produk berkaitan pelaburan, persaraan dan endowmen tahun ini, katanya.

Maybank, Takaful

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain