suria

Econpile Meterai Perjanjian Taja Jamin RHB

KUALA LUMPUR: Econpile Holdings Bhd menandatangani perjanjian taja jamin dengan RHB Investment Bank Bhd (RHB IB) untuk pelaksanaan tawaran awam permulaannya (IPO).

Econpile merancang untuk membelanjakan sebanyak RM15 juta dalam perbelanjaan modal (CAPEX) terutama bagi pembelian jentera berteknologi tinggi.

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Raymond Pang berkata sejak tiga tahun lepas, syarikat telah melabur sebanyak RM50 juta ke dalam CAPEX.

"Kita percaya ia akan membolehkan kami melaksanakan projek-projek berskala besar pada tahun-tahun yang akan datang," katanya pada Isnin.

IPO Econpile merangkumi terbitan awam sebanyak 90 juta saham baharu bersama-sama dengan tawaran untuk jualan 55 juta saham vendor.

Daripada 90 juta saham itu, 27 juta adalah untuk rakyat Malaysia, 3.5 juta bagi pengarah-pengarah yang layak, kakitangan serta sekutu perniagaan kumpulan dan 47.5 juta diperuntukkan melalui penempatan persendirian kepada pelabur-pelabur yang dikenal pasti.

Dua belas juta saham juga diperuntukkan kepada pelabur Bumiputera seperti yang telah diluluskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri melalui peruntukkan persendirian. Di samping itu, 55 juta saham di bawah tawaran untuk dijual juga diperuntukkan melalui penempatan persendirian kepada pelabur-pelabur Bumiputera yang dikenal pasti.

"Kami gembira dapat memainkan peranan penting dalam penyenaraian Econpile di Bursa MaLaysia Securities Bhd," kata Pengarah RHB IB serta Ketua Pasaran Modal Ekuiti Serantau, Korporat dan Perkhidmatan Pelaburan Perbankan Gan Kim Hoon.

RHB Investment akan bertindak sebagai penasihat utama, penaja jamin dan ejen penempatan untuk proses itu.

Econpile yang merupakan pakar cerucuk dan asas tapak, memegang lesen Gred 7 daripada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia dan dijangka disenaraikan di Bursa Malaysia menjelang pertengahan 2014.

RHB, Econpile

Artikel Sebelum

Artikel Lain