suria

Jaya Supermarket Berwajah Baharu, Beroperasi Semula, Isnin

Jaya Shopping Centre.

PETALING JAYA: Jaya Supermarket, pusat beli belah yang menjadi mercu tanda bandar ini pada era 70-an dan runtuh ketika proses transformasinya pada 2009, bakal memulakan operasinya pada Isnin.

Menampilkan imej moden, bangunan tujuh tingkat di Seksyen 14 ini dikenali sebagai Jaya Shopping Centre (JSC), yang menyediakan 180 lot kedai yang akan mewarnai kehidupan masyarakat, terutama penduduk sekitarnya.

Pengarah Jaya Seksyen 14 Sdn Bhd, Ismail Ani Arope berkata, pembukaan JSC yang berwajah baharu akan membantu menghidupkan kembali atmosfera di Seksyen 14.

Malah, katanya, penduduk sekitar kejiranan akan memperoleh pelbagai manfaat daripada pembangunan pesat pusat beli-belah itu.

"Kita semua tahu bagaimana JSC merupakan sesuatu yang amat penting kepada penduduk di sekelilingnya; bagaimana ia memberikan keselesaan, inspirasi dan menjadi simbol kemegahan mereka. Kami menyedari standard telah dipertingkat dengan peningkatan kehendak pasaran yang lebih tinggi dan sofistikated," katanya.

Pusat beli belah ini akan dilengkapi dengan pelbagai premis termasuk kehadiran 30 peratus penyewa lama, selain gabungan penyewa seperti Cold Storage, Nelson Corn-In-A-Cup, TGV Cinema, Adidas, Best Denki, Brewball Pool & Karaoke, The Body Shop, CIMB Bank, restoran Chili’s Grill & Bar, Cobay, Hing’s Watch, Original Classics dan Toys ‘R Us.

Dianggap sebagai ikon komuniti sejak 40 tahun lalu, tentunya pembukaan semula pusat beli belah ini pada 28 April ini pasti menggembirakan ramai.

Artikel Lain