suria

ZIPY: China Energy - Merapoh Meterai Perjanjian Perkongsian

Mukhriz (tiga, kiri) bersalaman dengan Qing Jun (dua, kanan) selepas menyaksikan majlis pemeteraian perjanjian perkongsian antara China Energy dan Merapoh, malam Khamis.

ALOR SETAR: China Energy Huacheng Industrial Investment Co. Ltd (China Energy) memeterai perjanjian perkongsian dengan Merapoh Resources Corporation Sdn Bhd (Merapoh) bagi membuka laluan pembangunan kilang penapis minyak mentah terbesar di Malaysia.

Dengan permeterian perjanjian perkongsian itu, Zon Perindustrian Petroleum Yan (ZIPY) yang dirancang kerajaan negeri Kedah sejak 2007 bakal dihidupkan kembali.

Pengerusi Merapoh, Datuk Bistamam Ramli berkata perjanjian itu akan menyaksikan China Energy syarikat milik kerajaan China muncul sebagai pemegang saham majoriti dengan 70 peratus kepentingan ekuiti dalam Merapoh, manakala baki 30 peratus akan dipegang oleh rakan kongsi tempatan.

"China Energy yang menyediakan pelaburan awal US$10 bilion akan membolehkan Merapoh yang disusun semula meneruskan rancangan dan projek-projeknya, yang mana yang paling segera adalah pembangunan dan pelaksanaan kompleks penapisan minyak di Kedah.

"Komplek perindustrian petroleum bersepadu itu akan dibina di kawasan tanah seluas 1,000 hektar dan ini termasuk kedua-dua kemudahan luar pantai dan daratan," katanya selepas majlis permeterian tersebut di sini, malam Khamis.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir menyaksikan majlis permeterian tersebut. China Energy diwakili oleh Pengerusinya Zhou Qing Jun, manakala Merapoh oleh Pengarahnya Md Nazri Ramli. Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Mohd Puat Mohd Ali.

Bistamam berkata Merapoh menyasar pengeluaran 400,000 tong minyak sehari selepas operasi penuh kemudahan tersebut, walaupun ia direka bentuk untuk menghasilkan 800,000 sehari.

Projek Zipy diumumkan pada 2007 oleh kerajaan negeri Barisan Nasional yang menyasarkan kutipan cukai tahunan berjumlah RM400 juta daripada projek tersebut yang dirancang beroperasi tahun lepas.

Projek yang dibiayai swasta itu merancang mendapatkan minyak mentah dari Timur Tengah bagi kilang penapis di sini sebelum dieksport ke negara Asia. 


Artikel Lain