suria

Hotel Perdana Sasar Jualan 1,000 Baucar Bufet Ramadan Pada MSAM 2014

Hotel Perdana

KOTA BHARU: Hotel Perdana di sini mengunjurkan jualan 1,000 baucar bufet Ramadan sepanjang penganjuran Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2014 yang akan berakhir Ahad ini.

Pengurus Besarnya, Muhammad Taha Zainal, berkata unjuran tersebut berdasarkan sambutan yang menggalakkan terhadap pakej sama yang ditawarkan tahun lalu.

"Setakat ini jualan baucar sudah mencecah lebih 400 dan yakin sasaran kami dapat dicapai menjelang cuti hujung minggu ini.

"Ini kali kedua Hotel Perdana menawarkan pakej bufet Ramadan kepada pengunjung dengan tawaran RM55 berbanding RM70 bagi kadar biasa. Tawaran ini khas bagi sepanjang MSAM 2014 ini," katanya ketika ditemui selepas pra-pelancaran Bufet Ramadan Hotel Perdana Kota Bharu, malam Khamis.

Hotel Perdana Kota Bharu yang bertaraf lima bintang ini dimiliki sepenuhnya oleh Permodalan Nasional Bhd (PNB) dan diuruskan oleh anak syarikatnya, PNB Management Services Sdn Bhd.

Sepanjang minggu ini, Hotel Perdana memberikan potongan RM15 kepada pengunjung MSAM 2014 dan diskaun 50 peratus untuk kanak-kanak berumur dari lima hingga 12 tahun.

Baucar itu boleh dibeli di gerai Hotel Perdana yang terletak di zon Hiburia.

Pakej bertemakan 'Bufet Ramadan Selera Kampung Malaysia' itu akan menampilkan lebih daripada 144 hidangan tradisional seluruh pelusuk negeri hasil sentuhan Sous Chef Eksekutif, Ibrahim Lasi.

Antara hidangan menarik bagi bufet Ramadan tahun ini ialah gulai kawah otak lembu dan sup belut istimewa, di samping masakan Barat dan Timur Tengah, yang disajikan di stesen pasta, dan kebab syarwarma serta rangkaian pencuci mulut yang enak.

Berikutan sambutan menggalakkan Hotel Perdana berjaya mencapai perolehan sebanyak RM500,000 sepanjang Ramadan tahun lalu.

"Angka ini di luar jangkaan kerana itu kali pertama kami melancarkan pakej untuk berbuka puasa. Bagi tahun ini, kami menjangkakan jumlahnya meningkat berikutan promosi yang dijalankan sempena MSAM 2014 ini," katanya.

MSAM kali ini, yang berlangsung hingga 27 April, berkonsepkan taman tema yang bercirikan empat bidang iaitu sukan, gaya hidup, teknologi, serta beli-belah dan hiburan, yang masing-masing dinamakan Arena Aktif, Anjung Santai, Dimensi Digital dan Hiburia.


Artikel Lain