suria

MNRB Ringgit Savvy di MSAM

Pengunjung yang hadir pada MSAM di Kota Bharu pada Selasa.

KOTA BHARU: MNRB Holdings Bhd menganjurkan program "MNRB Ringgit Savvy" buat kali ketiga bersempena dengan Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2014 yang sedang berlangsung dari 20 hingga 27 April, di sini.

Naib Presiden dan Ketua Jabatan Komunikasi Korporatnya Noorazimah Tahir berkata siri pertama dan kedua program tersebut berlangsung pada MSAM 2012 dan 2013 di Kota Kinabalu, Sabah dan Kangar, Perlis yang menerima sambutan amat menggalakkan.

"Progam ini bertujuan untuk memberi pendedahan awal kepada pelajar sekolah menengah mengenai aspek pelaburan serta pengurusan wang yang bijak.

"Ini sejajar dengan objektif MSAM iaitu mendidik masyarakat Malaysia mengenai pelaburan dan perancangan kewangan yang berhemat," katanya kepada wartawan pada MSAM 2014 pada Selasa.

Beliau berkata program tersebut berlangsung selama dua hari bermula hari ini, meliputi dua sesi setiap hari.

Noorazimah berkata sesi pagi yang berakhir pukul 12.30 tengah hari telah disertai oleh enam sekolah menengah sekitar Kota Bharu dan Pasir Mas, melibatkan kira-kira 300 murid manakala untuk sesi petang, MNRB akan ke sekolah rendah yang bertuah bagi melaksanakan program ini.

"Antara aktiviti yang diadakan ialah persembahan sketsa daripada jurulatih seni Budaya Negara yang memberi penekanan kepada kepentingan menabung kepada pelajar di samping persembahan daripada pelajar yang bertemakan 'bijak menabung'," katanya.

Wan Nor Aini Wan Mustafa, 47, antara guru pengiring pelajar ke program ini berpendapat program anjuran MNRB ini memberi manfaat yang besar kepada pendidikan pelajar.

"Pendidikan di dalam kelas sahaja tidak berkesan dan ia kerap membuatkan para pelajar menjadi bosan. Melalui aktiviti seperti ini, para pelajar akan lebih memahami akan kepentingan menabung itu sendiri dan dapat meningkatkan pemahaman mereka," katanya.

MNRB, Kota Bharu, Saham

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain