suria

Takaful Ikhlas Unjur Pendapatan Premium RM8 Juta

KOTA BHARU: Takaful Ikhlas Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh MNRB Holdings Bhd, mengunjurkan pendapatan premium sebanyak RM8 juta melalui karnival Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2014 pertama tahun ini yang bermula Ahad.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Ab Latiff Abu Bakar berkata pada karnival MSAM 2013 di Kangar, Perlis, Takaful Ikhlas berjaya memperoleh pendapatan premium sebanyak RM4 juta.

"Kami agak terkejut dengan pencapaian tersebut (MSAM 2013) kerana saiz negerinya yang kecil berbanding negeri-negeri lain, dan sasaran awal kami untuk Kangar hanyalah sebanyak RM2.5 juta," katanya kepada Bernama pada temu bual dalam talian bersempena MSAM 2014 pada Isnin.

Beliau yakin Takaful Ikhlas dapat mencapai sasaran tersebut berdasarkan premium semasa sehingga pukul 12 tengah hari ini, sudah mencecah RM100,000.

Untuk MSAM kali ini, Ab Latiff berkata Takaful Ikhlas menyediakan dua jenis produk, pelaburan dan tradisional yang dikendalikan oleh 300 ejennya yang datang dari seluruh negara.

"Daripada kedua-dua produk tersebut, saya menjangkakan produk pelaburan akan mendapat sambutan yang lebih hebat daripada pengunjung kerana produk ini didatangkan bersama-sama dengan kad kesihatan," katanya.

Katanya komisen bagi ejen-ejen Takaful Ikhlas yang dibayar dalam tempoh 24 jam, juga dijangka merancakkan jualan produk-produknya dan membantu mencapai sasaran yang telah ditetapkan.

Pelanggan yang mendaftar produk Takaful Ikhlas di tapak pamerannya sepanjang lapan hari karnival ini akan diberikan kelulusan serta-merta oleh pihak syarikat sekiranya memenuhi kriteria yang ditetapkan, kata Ab Latiff.

Katanya ia juga termasuk pengeluaran kad kesihatan di tapak pameran Takaful Ikhlas, pada hari yang sama pelanggan mendaftar selain menyediakan khidmat pemeriksaan percuma untuk pengunjung," katanya.

MSAM 2014, anjuran Permodalan Nasional Bhd (PNB), bertemakan 'Pelaburan 360' berlangsung sehingga Ahad ini dan akan memuatkan pelbagai aktiviti pendidikan pelaburan untuk pelbagai lapisan masyarakat.

Karnival yang memasuki fasa kedua ini dijayakan dengan sokongan 12 syarikat kumpulan PNB, termasuk Maybank, Sime Darby Bhd, I & P Group Sdn Bhd dan UMW Holdings Bhd, manakala Takaful Ikhlas bertindak sebagai rakan program keagamaan MSAM 2014.

Takaful Ikhlas, PUNB

Artikel Lain