suria

Mara P.Pinang Peruntuk RM70,000 Untuk Bantuan Awal IPTS

BUTTERWORTH: Kerajaan persekutuan menerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) Pulau Pinang memperuntukkan RM700,000 sebagai bantuan awal kepada pelajar bumiputera di negeri ini yang mahu melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).

Pengarah Mara negeri, Yahaya Sani berkata pelajar yang menghadapi masalah kewangan boleh memohon bantuan berkenaan di ibu pejabat Mara negeri bagi meringankan beban mereka.

 
"Setiap pelajar akan diberi RM2,500 untuk bantuan permulaan bagi melanjutkan pelajaran di IPTS dan pada tahun ini kita menawarkan bantuan kepada 350 pelajar.
 
"Ini adalah antara usaha kerajaan membantu keluarga yang kurang berkemampuan untuk anak-anak mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi di IPTS," katanya kepada penberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Karnival Pendidikan Mara 2014 di sini hari ini.

Majlis dirasmikan anggota Dewan Undangan Negeri Bertam Shariful Azhar Othman.
 
Karnival berkenaan disertai 74 IPTS untuk mendedahkan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mengenai kursus pengajian yang ditawarkan institusi itu.

Yahaya berkata setakat ini 120 pelajar di Pulau Pinang telah menerima bantuan permulaan itu yang melibatkan pembiayaan RM300,000.
 
"Tujuan kerajaan sediakan bantuan ini ialah kerana mahu melihat lebih ramai pelajar bumiputera menyambung pelajaran mereka ke peringkat lebih tinggi selepas SPM dan tidak memasuki alam pekerjaan pada usia yang masih muda," katanya.

Sementara itu, Shariful berkata penganjuran program berkenaan memberi manfaat dan pendedahan kepada lepasan SPM terutamanya yang tidak berjaya mendapat tempat di universiti awam.
 
"Persaingan untuk memasuki universiti awam pada hari ini semakin sengit dan tempat yang ditawarkan begitu terhad.
 
"Namun begitu, pelajar perlu didedahkan dengan peluang pengajian lain terutamanya di IPTS yang juga mempunyai kualiti pengajian yang bagus dan diakui di peringkat antarabangsa," katanya.

Mara

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain