Bergantung Kepada Subsidi Boleh Bantutkan Usaha Kerajaan Wujudkan Ekonomi Seimbang

Diterbitkan: Khamis, 17 April 2014 2:43 PM

Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah

Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Rakyat tidak boleh terlalu bergantung kepada subsidi kerana ia boleh membantutkan usaha kerajaan untuk mewujudkan ekonomi yang seimbang, kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Beliau berkata pelaksanaan rasionalisasi subsidi oleh kerajaan wajar bagi menghalang 'herotan pasaran' dalam ekonomi, yang menyaksikan golongan berpendapatan tinggi turut menikmati subsidi yang disediakan sebelum ini.
 
"Jadi, kita sedang kaji untuk merasionalisasikan subsidi...ia mesti pergi kepada kumpulan sasaran kita supaya 'herotan pasaran' dapat kita hapuskan.
 
"Bila ini dilaksanakan dalam konteks hasil dipertingkat, bersama-sama perbelanjaan berhemah, Insya-Allah kita boleh mencapai ekonomi yang seimbang pada 2020," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Ceramah Perdana Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP), di sini, Khamis.

Dari segi belanjawan seimbang, Husni berkata kerajaan melihat kepada beberapa faktor, termasuk pendapatan dari segi pelaksanaan CBP itu sendiri dan usaha untuk meningkatkan hasil.
 
"Apabila negara kita mencapai pertumbuhan ekonomi yang lebih tinggi, pembayaran cukai daripada sektor korporat itu juga akan meningkat," katanya.

Sementara itu, Husni berkata hanya ada tujuh negara yang meletakkan CBP pada kadar lima peratus, iaitu sedikit rendah berbanding kadar 6 peratus yang bakal kita laksanakan tahun depan, daripada 161 negara yang melaksanakannya.
 
"Malaysia antara lapan negara yang menetapkan kadar CBP terendah, dan secara puratanya, penggantian cukai CBP ini berbanding Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sebanyak 16 peratus yang digunakan pada masa ini, tidak melibatkan perbezaan yang besar," katanya.

Katanya indeks harga pengguna (IHP) yang dijangka meningkat 1.8 peratus daripada pelaksanaan CBP ini hanya melibatkan golongan berpendapatan tinggi kerana IHP lebih kepada kegiatan yang melibatkan golongan berkenaan.
 
"Kerajaan memegang kepada prinsip menjaga kepentingan rakyat, dan kita tidak mahu pelaksanaan CBP ini nanti melibatkan kenaikan harga yang terlalu tinggi.

Pada mesyuarat Kabinet semalam, kerajaan memutuskan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna mengukuhkan penguatkuasaan bagi membendung kenaikan harga.
 
"Kita juga ada akta anti pencatutan bagi memantau dan mengambil tindakan ke atas syarikat-syarikat yang menggunakan kedudukan mereka untuk menaikkan harga," kata Husni.

Ceramah Perdana CBP ini diadakan bagi meningkatkan pemahaman penjawat awam terhadap sistem percukaian CBP yang menggantikan SST bermula April tahun depan.

Ketua-ketua perkhidmatan, Ketua-ketua Setiausaha Kementerian, Ketua-ketua Jabatan dan penjawat awam dari pelbagai kementerian hadir pada ceramah itu.
 




Tags / Kata Kunci: subsidi , Ahmad Husni Hanadzlah

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan