suria

Malaysia-Turki Tingkat Hubungan Perdagangan, Pelaburan

Mustapa Mohamed.
ANKARA: Malaysia dan Turki meneruskan hubungan dua hala berprofil tinggi, selain hubungan dagangan dan pelaburan yang proaktif menerusi kerjasama ekonomi bagi memastikan rakyat kedua-dua negara terus makmur menerusi hubungan dua hala itu.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata rakyat Malaysia dan Turki wajar mengenal pasti usaha baharu yang pragmatik pada masa depan.

"Saya menggesa semua di sini supaya meningkatkan keupayaan untuk membangunkan dan mengekalkan hubungan berprofil tinggi ini," katanya pada jamuan malam yang merupakan sebahagian daripada lawatan kerja dua hari ke Turki sempena Majlis Penandatanganan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) Malaysia-Turki.

Majlis itu dihadiri lebih 60 pegawai dari sektor swasta, agensi kerajaan, penuntut Malaysia dan media.

"Hubungan kita wajar mendapat dorongan baharu susulan pemeteraian FTA ini," katanya dan menambah lebih US$1 bilion pelaburan di Turki dibuat oleh Khazanah Nasional Bhd, cabang pelaburan kerajaan yang mencerminkan seriusnya Malaysia dalam meningkatkan hubungan dua hala.

Khazanah ialah pelabur terbesar dengan pelaburan bersama bernilai US$1 bilion menerusi Integrated Healthcare Holdings (IHH), bagi 75 peratus kepentingan dalam Acibadem Saglik Yatirimlari Holding AS, penyedia perkhidmatan penjaga kesihatan terbesar di Turki.

Mustapa juga berkata empat pelabur berpotensi Turki juga merancang membuka operasi masing-masing di Malaysia berdasarkan lokasinya yang strategik dan hubungan kukuh kerajaan-dengan-kerajaan, antara kedua-dua negara.

Beliau berkata antara syarikat itu ialah Turkish Technic, yang menyuarakan minatnya untuk membuka operasi penyelenggaraan, baik pulih dan pembaikan (MRO)
di Malaysia dan menjalin usaha sama dengan syarikat Malaysia dalam membangunkan rangkaian bekalan aeroangkasa.

Berpusat di Lapangan Terbang Ataturk Istanbul, Turkish Technic ialah MRO perkhidmatan MRO utama pesawat di rantau ini.

Sebuah lagi syarikat, Pakkens Inc mahu mengeluar injap industri dan kini sedang dalam peringkat memohon status pejabat perwakilan untuk menjalankan kajian daya maju di Malaysia.

Ia juga ialah pengeluar pertama injap radiator termostat di Turki dengan nilai jualan tahunan sebanyak US$29.7 juta.

Eymak Group, yang sedang mengenal pasti lokasi pelaburan baharu untuk galas berbola, yakin Malaysia merupakan antara lokasi berpotensi.

Syarikat itu beroperasi menerusi pengedarnya di Turki, Iran, Syria, Iraq dan Lubnan selain di kesemua negara di Timur Tengah.

Syarikat keempat, Mado Cafe, menunjukkan minat dalam pengeluaran dan pengedaran ais krim jenama 'Mado' di Malaysia.

Artikel Lain