suria

PPNJ Poultry & Meat Tukar Strategi

Seorang pekerja melakukan kerja-kerja pembersihan ayam di Kilang PPNJ Poultry & Meat Sdn Bhd di Ayer Hitam, Batu Pahat.

BATU PAHAT: PPNJ Poultry & Meat Sdn Bhd bakal menukar strategi pemasarannya bermula pertengahan tahun ini dengan mengeluarkan sebahagian besar produk pengeluarannya kepada produk hiliran.

Pengurus Besarnya Dr Rosnizam Abdul Rahman berkata ini berikutan sambutan yang kurang menggalakkan kepada produk ayam segar gred premium yang dikeluarkannya sehinggakan mendatangkan kerugian kepada syarikat.

"Selepas ini, produk hiliran akan merangkumi 65 hingga 70 peratus jumlah produk pengeluaran kami. Selain itu juga, kami menyasarkan untuk memasarkan produk hiliran ini ke restoran-restoran dengan menggunakan jenama kami sendiri," katanya.

Produk hiliran itu akan dikeluarkan secara besar-besaran tidak lama lagi menerusi kilang baru di Parit Sonto, Ayer Hitam, yang mempunyai kapasiti pengeluaran sehingga lebih 10 tan produk hiliran berasaskan ayam.

Syarikat itu, yang bakal mengeluarkan empat tan produk hiliran berasaskan ayam buat permulaan, menawarkan lebih 10 jenis produk hiliran termasuk ayam popcorn, sate ayam dan sebagainya.

Rosnizam berkata selain daripada pasaran tempatan, syarikatnya juga turut menyasarkan produk hilirannya bagi pasaran eksport.

Buat permulaan, syarikatnya akan mengeksport 12,000 bungkus sate ayam ke Bali, Indonesia bermula hujung bulan ini.

"Kami turut mendapat permintaan dari Brunei, Kemboja, Ireland, United Kingdom, Perancis serta Singapura," kata beliau.

Selain itu, syarikat itu turut mempelawa sesiapa yang berminat untuk menjadi ejen bagi produk hilirannya, kata beliau.

PPNJ Poultry & Meat, merupakan anak syarikat Pertubuhan Peladang Negeri Johor (PPNJ) yang dikendalikan sepenuhnya oleh Bumiputera.


PPNJ, Batu Pahat

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain