suria

Pembiayaan Perniagaan Dijangka Meningkat - BIMB

KUALA LUMPUR: Pembiayaan perniagaan dijangka meningkat, disokong oleh industri-industri utama seperti minyak dan gas, pembinaan dan pembuatan, meskipun landskap mencabar dalam perbankan Islam tahun ini.

Pengarah Urusan Bank Islam Malaysia Bhd (BIMB), Datuk Seri Zukri Samat berkata pemangkinnya adalah perbelanjaan modal tinggi oleh Petroliam Nasional Bhd dan pelaksanaan projek prasarana seperti transit aliran berkapasiti tinggi (MRT).

Peningkatan permintaan daripada pengeluar berorientasikan eksport, terutamanya sektor elektrik dan elektronik berikutan faktor luaran yang bertambah baik juga akan menyumbang kepada pertumbuhan pembiayaan perniagaan, katanya.

"Pembiayaan perniagaan menerusi sektor komersil dan korporat dijangka mengisi ruang dalam permintaan pembiayaan disebabkan peningkatan hutang isi rumah," katanya kepada Bernama dalam satu temu bual.

Beliau berkata meskipun pembiayaan perniagaan semakin meningkat, pembiayaan pengguna masih mencabar kerana permintaan dijangka menyederhana berikutan dasar penjimatan kerajaan dan margin ketat disebabkan oleh persaingan sengit.

Zukri berkata oleh kerana kerajaan dijangka meneruskan dasar berjimat cermatnya bagi mengurangkan subsidi dan mengawal defisit bajet, dasar kredit ketat oleh Bank Negara Malaysia menerusi langkah-langkah makro berhemat bagi menangani hutang isi rumah akan membawa impak kepada pertumbuhan pembiayaan runcit.

"Akibatnya, pengguna akan mengambil pendekatan lebih berhati-hati dalam perbelanjaan mereka," katanya.

Beliau berkata situasi itu diburukkan lagi dengan persaingan sengit yang menyebabkan hakisan margin apabila bank-bank bersaing untuk memberikan pembiayaan.

"Bagi perbankan Islam dan sektor perbankan secara umumnya, persekitaran kompetitif telah menjadikannya lebih mustahak untuk memacu inovasi yang berpusatkan kepada pengguna, terutamanya sekarang apabila pengguna semakin canggih," katanya.

Pertumbuhan perbankan Islam di Malaysia konsisten sejak dekad lalu, berada pada purata kira-kira 20 peratus setiap tahun sejak 2000 dengan aset patuh Syariah ketika ini mewakili lebih 22 peratus daripada jumlah aset perbankan negara pada September tahun lepas.

Zukri berkata keadaan ekonomi domestik dan global sekarang, bagaimanapun, akan terus menyediakan hala tuju bagi landskap perbankan Islam tahun ini dan tahun-tahun selepasnya.

Menurutnya, meskipun keadaan tidak menentu yang menyelubungi ekonomi global dilihat semakin beransur-ansur bertambah baik, pemulihan itu dilihat sebagai masih berada pada peringkat awal.

"Industri perbankan tidak diragui lagi akan menerima kesan daripada faktor-faktor ini. Selain itu, terdapat cabaran khusus industri seperti persaingan, pembaharuan kawal selia antarabangsa dan pengenalan langkah-langkah makro berhemat," katanya.

Zukri berkata dengan hutang isi rumah mencecah 86 peratus daripada keluaran dalam negara kasar pada 2013, langkah-langkah makro berhemat seperti keperluan pembiayaan bertanggungjawab diperkenalkan, termasuk memendekkan tempoh bagi jenis pembiayaan tertentu dan mengetatkan dasar kelulusan kredit.

"Seperti sekarang ini, kebanyakan bank telahpun merasai kesannya, pertumbuhan pinjaman yang perlahan pada 2013 merupakan bukti kesan itu dan trend ini dijangka berterusan sepanjang tahun ini," katanya.

Beliau berkata bagi perbankan Islam, faktor lain yang perlu dipertimbangkan ialah pematuhan ketat kepada prinsip Syariah.

Menurutnya, pematuhan ketat kepada prinsip-prinsip syariah merupakan kunci bagi mengekalkan keyakinan pelanggan yang meletakkan kepercayaan dan seterusnya akan memastikan objektif produk dan perkhidmatan yang diterima global dapat dicapai.

Zukri berkata pelaksanaan rangka kerja Akaun Pelaburan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 merupakan langkah baik yang memerlukan bank Islam membezakan antara akaun deposit dan akaun pelaburan berdasarkan kepada risiko diambil dan pulangan yang dijangkakan oleh pelanggan.

Beliau berkata tujuannya adalah bagi memastikan pelanggan membuat keputusan yang berdasarkan maklumat, menggalakkan ketelusan menerusi pendedahan prestasi pelaburan berkala.

Pada masa yang sama, katanya, industri akan meneruskan usahanya menyempurnakan dan mengukuhkan penawaran produk lain sejajar dengan standard Syariah.

Bagaimanapun, katanya, kesedaran awam dan persepsi pembiayaan Islam juga perlu turut diteruskan.

"Kurangnya ketegasan dalam memastikan pemahaman konsep pembiayaan Islam mungkin menjadi halangan kepada pertumbuhan di masa depan," katanya.

Justeru itu, beliau berkata pendidikan pembiayaan Islam penting bagi mengekalkan pertumbuhan perbankan Islam. 


BIMB, Petronas

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain