suria

SKS-KL Labur RM5 Juta Untuk Bas Jarak Jauh

Bas Ekspres SKS-KL

SEREMBAN: Sistem Kenderaan Seremban-Kuala Lumpur Sdn Bhd (SKS-KL), anak syarikat Nadicorp Holdings Sdn Bhd yang berpangkalan di sini melabur RM5 juta untuk membeli 11 bas baharu untuk operasi jarak jauh.

Pengerusi SKS-KL, Mohd Nizar Mohd Najib, berkata bas terbabit mempunyai 31 tempat duduk untuk memberi keselesaan kepada penumpang.

"Bas baharu terbabit bukan sahaja selesa tetapi juga menepati piawaian keselamatan serta dikendali pemandu berpengalaman dan terlatih," katanya di majlis pelancarannya oleh Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi di sini, Selasa.

Katanya, laluan jarak jauh bermula dari bandar ini (Seremban) ke pantai timur merangkumi Kuantan, Kuala Terengganu dan Kota Bahru, manakala bagi utara pula meliputi Lumut, Teluk Intan, Seri Iskandar, Ipoh, Butterworth, Sungai Petani, Alor Setar, Kangar dan Kuala Perlis.

Selain itu, beliau berkata, perkhidmatan ke selatan pula melalui bandar Melaka, Kota Tinggi dan Johor Bahru.

"Laluan terbabit dapat meluaskan jangkauan operasi kami ke seluruh negara dan kami yakin ia akan mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan," katanya.

Mohd Nizar berkata, sudah tiba masanya SKS-KL memperluaskan perkhidmatan daripada bas ekspres jarak dekat kepada jarak jauh.

"Kami sedar permintaan pelanggan berubah dari masa ke semasa dan kami perlu meningkatkan tahap perkhidmatan seiring kehendak mereka," katanya.

Mengenai rancangan masa depan syarikat, beliau berkata, pihaknya akan membeli 10 lagi bas bernilai RM5 juta akhir tahun ini.

SKS-KL mula beroperasi pada 1977 dengan 10 buah bas sahaja untuk laluan Seremban-Kuala Lumpur. 

Sejak itu SKS-KL terus berkembang maju dan kini mempunyai 69 bas. Selain bas setingkat, SKS-KL juga mempunyai bas dua tingkat serta 24 bas yang menggunakan gas asli.

sks, bas

Artikel Berikut

Artikel Lain