CIMB Gesa Kerajaan Bantu Firma Tempatan Hadapi AEC

Diterbitkan: Selasa, 15 April 2014 8:05 PM

Nazir Razak

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: CIMB Group Holdings Bhd menggesa kerajaan mengambil langkah tambahan untuk membantu peniaga tempatan supaya lebih bersedia apabila negara mempengerusikan Komuniti Ekonomi Asean (AEC) tahun depan.

Ketua Eksekutif Kumpulan CIMB Datuk Seri Nazir Razak berkata syarikat Malaysia wajar memanfaatkan peluang yang wujud susulan penubuhan AEC yang boleh membantu mereka menjalankan perniagaan yang lebih menguntungkan.

"Rakyat digalakkan memberi tumpuan kepada apa yang akan wujud, dari segi keuntungan, di samping cabaran ke atas perniagaan atau individu.

"Kita perlu tahu apa yang akan diraih menjelang hujung 2015, jadi kita boleh mula membuat persiapan," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat agung tahunan syarikat itu di sini, Selasa.

Nazir berkata rakyat perlu menyiapkan rancangan perolehan dan perniagaan mereka, dan oleh itu mereka perlukan penjelasan mengenai matlamat AEC.

Beliau berkata CIMB telah menubuhkan unit 'Penyelesaian Perniagaan Asean' yang wujud dalam operasi CIMB di setiap negara bagi membantu pelanggan, sama ada perniagaan, individu atau pengembara, melakukan kegiatan rentas sempadan dalam Asean.

Beliau memberi contoh pada 2013, CIMB melakukan 73 transaksi rentas sempadan untuk pelanggan korporat berbanding 30 pada 2012.

Sementara itu, Nazir berkata kumpulan itu sedang berusaha mendapatkan lebih banyak sumbangan keuntungan daripada operasi di luar negara bagi mengurangkan peratusan sumbangan daripada operasi Malaysia kepada bawah 50 peratus dalam tempoh tiga hingga empat tahun akan datang.

Sumbangan Malaysia kepada kumpulan itu kini sebanyak 60 peratus.

Nazir berkata unjuran pertumbuhan tinggi syarikat itu kekal dalam pasaran Indonesia dengan pertumbuhan pinjaman berkembang hampir pada purata industri iaitu antara 14 dan 18 peratus.

Beliau juga berkata bidang pertumbuhan lain yang berpotensi untuk CIMB masih dalam bentuk pertumbuhan organik dalam pasaran kecil Asean.

"CIMB Thai Bank merancang membuka cawangan di Laos tidak lama lagi manakala kumpulan ini sedang berusaha mendapatkan satu lesen perbankan di Vietnam," katanya.

Bagi Filipina pula, katanya, kumpulan itu aktif mengkaji negara itu, dan menambah 'Kami berminat memasuki pasaran Filipina...hanya menunggu masa yang sesuai dan peluang yang betul.'


Tags / Kata Kunci: cimb , nazir , aec

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan