suria

Matrade Unjur Jualan RM173 Juta Pada Caexpo

GEORGE TOWN: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) mengunjurkan jualan bernilai RM173 juta pada Ekspo China-Asean (CAEXPO) ke-11 di Nanning, China dari 19 hingga 22 Sept 2014.

Pengarah Bahagian Perkhidmatan Perniagaan & Bahan Binaan dan Unit Francais, Ong Yew Chee, berkata Matrade berharap ekspo itu akan merangsang ekonomi kedua-dua negara bagi memenuhi matlamat dagangan dua hala sebanyak RM500 bilion menjelang 2017 walaupun China kini mengalami kelembapan.

Tahun lepas, dagangan dua hala Malaysia-China mencapai kira-kira RM203.23 bilion.

Ong berkata penggunaan domestik China kukuh dan ini pasti menguntungkan syarikat Malaysia yang mengambil bahagian.

Beliau berkata sebelum ini banyak syarikat Malaysia, terutama yang kecil dan sederhana, menggunakan CAEXPO sebagai platform untuk menembusi pasaran China.

"Untuk CAEXPO tahun ini, kami berharap jualan produk Malaysia mampu mencecah RM173 juta atau kira-kira 10 peratus lebih baik berbanding jumlah jualan tahun lalu sebanyak RM158.24 juta," katanya kepada pemberita pada promosi CAEXPO di sini, Isnin.

Ong berkata CAEXPO dianggap sebagai platform penting untuk mempromosi dagangan, pelaburan dan hubungan pelancongan antara Malaysia dengan China.

Matrade, katanya berharap membawa lebih 100 syarikat Malaysia menyertai CAEXPO di Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Nanning itu.

Produk yang akan dipromosikan terdiri daripada keluaran makanan dan minuman, bahan kesihatan dan kesejahteraan, teknologi hijau dan keperluan gaya hidup.

Perkhidmatan pula termasuklah pendidikan, francais dan daripada agensi kerajaan.


Matrade, Caexpo

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain