suria

Syarikat Malaysia Digesa Ceburi Sektor Biomas Lebih Agresif

Thomas Brandt.

KUALA LUMPUR: Dewan Perniagaan Malaysia-Jerman (DPMJ) pada Selasa menggesa syarikat Malaysia supaya menceburi sektor tenaga boleh diperbaharui dengan lebih agresif.  

"Malaysia perlu meneroka dan menguasai pasaran itu berikutan kelebihan dan potensi besar yang dimiliki dalam sektor biomas yang terhasil, terutama daripada industri minyak sawitnya," kata Pengurus Besar DPMJ, Thomas Brandt kepada pemberita selepas taklimat sempena lawatan tahunan delegasi teknologi hijau DPMJ ke Jerman.

Brandt berkata, banyak syarikat Jerman datang ke Malaysia untuk mendapatkan rakan kongsi, terutama dalam pembekalan kejenteraan dan teknologi.

"Sektor biomas sangat menarik dan orang ramai menyedari potensi dalam bidang berkenaan," katanya.

Menurutnya, kerajaan juga memberi keutamaan kepadanya dengan 'Inisiatif Alternatif Biomas Nasional' bagi memanfaatkan potensi besar bidang itu.

"Kami mempunyai jentera yang boleh memproses sebarang bahan seperti kayu dan sisa minyak sawit menjadi pelet dan briket, manakala Malaysia mempunyai pelbagai sumber biomas," katanya. 

Brandt berkata, Jerman memerlukan pelet and briket untuk tujuan pemanasan manakala Malaysia boleh menggunakan pelet itu untuk tujuan penyejukan.

DPMJ menjangka antara 20 hingga 30 anggota delegasi tempatan menyertai lawatan perniagaan ke Jerman pada 18 hingga 27 Jun ini yang bertujuan mewujudkan peluang perniagaan untuk syarikat Malaysia dan Jerman.

Sehingga September 2013, nilai perdagangan dua hala antara kedua-dua negara dilaporkan bernilai RM29.35 bilion dengan eksport Malaysia berjumlah RM12.55 bilion dan import RM17.3 bilion.

Jerman adalah antara negara pelabur terbesar di Malaysia sejak 30 tahun lalu dan yang terbesar di kalangan negara Kesatuan Eropah.

Barangan yang dieksport ke Malaysia termasuk produk elektronik dan elektrik, produk saintifik serta produk getak dan kimia. Kira-kira 300 syarikat Jerman melabur di negara ini.

Artikel Lain