suria

RM70 Juta Untuk MaGIC Lahirkan Usahawan Kreatif

Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah

PUTRAJAYA: Kerajaan memperuntukkan perbelanjaan sebanyak RM70 juta kepada Pusat Inovasi dan Kreatif Global Malaysia (MaGIC) untuk melahirkan lebih ramai usahawan dalam industri kreatif dan penyelidikan pembangunan di negara ini, kata Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Menurut beliau, daripada jumlah itu sebanyak RM50 juta adalah menerusi Bajet 2014 untuk membiayai keseluruhan tempoh setahun projek pembangunan usahawan kreatif bermula Oktober tahun lepas.

Beliau berkata, baki RM20 juta lagi telah diperuntukkan daripada inisiatif kementerian menerusi dana pembiayaan keusahawanan sosial.

"Dalam pada itu, Kementerian Sains, Teknologi, dan Inovasi (Mosti) juga turut terlibat secara tidak langsung dalam menyalurkan dana sebanyak RM30 juta untuk pembiayaan aktiviti keusahawanan dalam bidang bioteknologi," katanya pada sidang media mengenai MaGIC di Cyberjaya dekat sini, Isnin.

MaGIC merupakan pusat sehenti untuk golongan usahawan, yang menyediakan pelbagai kemudahan berkaitan keusahawanan termasuk permohonan pembiayaan untuk memulakan perniagaan, katanya.

Dalam pada itu, Dr Mohd Irwan berkata, sejumlah 7,000 usahawan muda berdaftar telah direkodkan dalam pangkalan data program Usahawan Malaysia (1MET).

1MET yang merupakan inisiatif di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan, akan diletakkan di bawah MaGIC.

"1MET bermatlamat untuk memberi inspirasi dan menggalakkan golongan usahawan muda untuk berjaya dalam bidang yang mereka ceburi," katanya.

Beliau berkata program itu diwujudkan untuk memperkasakan kemahiran usahawan tempatan, memperkenalkan konsep sebenar keusahawanan kepada para peserta dan membantu membina jaringan keusahawanan tempatan yang berdaya saing.

Artikel Sebelum

Dulux Perkenal Cat Kilat Baru

Artikel Lain