suria

Boustead Boleh Kumpul RM1 Bilion Melalui Penyenaraian Unit Pelandangannya

Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin

PETALING JAYA: Boustead Holdings Bhd menjangka untuk mengumpul hingga RM1 bilion menjelang pertengahan Jun melalui cadangan penyenaraian anak syarikat milik penuhnya, Boustead Plantations Bhd, kata Timbalan Pengerusi/Pengarah Urusan Kumpulan, Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin.

Pada Isnin, konglomerat itu menerima kelulusan pemegang saham bagi cadangan penyenaraian itu pada satu mesyuarat agung luar biasa (EGM).

Selepas disenaraikan keseluruhan modal saham diperbesarkan dan berbayar Boustead Plantations akan berjumlah RM800 juta yang terdiri daripada 1.6 bilion saham.

Penyenaraian itu merangkumi penjualan hingga 76 juta saham tawaran dan terbitan awam sebanyak 580,000,000 saham yang akan diterbitkan kepada pelabur runcit dan institusi.

"Saya percaya penyenaraian ini akan memberi manfaat kepada pemegang saham. Masanya juga amat sesuai bagi kami kerana harga minyak sawit mentah (MSM) terus meningkat.

"Buat masa ini, harga MSM ialah pada RM2,675 setan metrik. Bagaimanapun, harga adalah dinamis, bergantung kepada beberapa faktor," katanya kepada pemberita selepas EGM itu, di sini hari ini.

Lodin berkata, paras simpanan semasa bagi komoditi itu ialah 1.66 juta tan metrik dengan julat harga yang mampan iaitu di antara RM2,600 dan RM2,700 setan metrik.

"Menjelang tibanya bulan Ramadhan, simpanan akan susut selanjutnya, sekali gus mendorong peningkatan harga," tegas beliau.

Katanya lagi, melalui pendapatan daripada penyenaraian itu, syarikat itu merancang untuk membeli ladang dan/atau tanah rizab perladangan yang matang dan boleh beransur-ansur meningkatkan perolehan, terutamanya di Malaysia, dalam tiga tahun akan datang.

"Kami juga akan menggunakan pendapatan sebanyak RM420 juta itu untuk membiayai sebahagian daripada pembelian, manakala selebihnya digunakan bagi keperluan modal kerja dan/atau pembayaran balik pinjaman bank bagi unit perladangan," jelasnya.

Boustead Plantations mengakhiri tahun kewangan 2013 dengan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM708 juta. Ini merupakan peningkatan sebanyak 19 peratus berbanding RM593 juta bagi tahun sebelumnya.

Ini dicapai hasil perolehan sebanyak RM11.2 bilion yang bersamaan dengan pertambahan sebanyak 14 peratus daripada RM9.8 bilion yang dicatatkan bagi 2012.

Pembayaran dividen ditolak cukai bagi tahun berkenaan adalah sebanyak 30 sen sesaham iaitu naik 5.3 peratus berdasarkan harga penutupan bagi tahun dalam kajian.

Keseluruhan pembayaran dividen bagi tahun itu berjumlah RM310 juta.

Artikel Lain