suria

Pelabur Disaran Manfaatkan Hubungan Kukuh Malaysia - Vietnam Untuk Kembang Perniagaan - PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (tengah) mempengerusikan mesyuarat pagi bersama Ketua-ketua Industri Malaysia dan Veitnam di Hanoi, Sabtu. -fotoBERNAMA
HANOI: Komuniti perniagaan Malaysia yang berada di Vietnam perlu mengambil peluang untuk mengembangkan perniagaan mereka di sini bagi memanfaatkan hubungan yang semakin kukuh antara kedua-dua negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perkara yang sama juga, kata Najib, perlu dilakukan pemain industri Vietnam dengan memberikan respon positif di mana mereka boleh mengembangkan pelaburan dan perdagangan ke Malaysia.

"Saya dimaklumkan bahawa Vietnam kini dalam proses penswastaan 500 perusahaan negeri secara berperingkat dan dalam proses ini sudah tentu ada peluang untuk syarikat Malaysia mengambil peluang," kata beliau.

Perdana Menteri berkata demikian kepada pemberita Malaysia selepas mempengerusikan mesyuarat bersama pemain industri Malaysia dan Vietnam, di sini Sabtu. 

Beliau berada di sini sempena rangka lawatan rasmi tiga hari ke Vietnam yang berakhir hari ini.

Najib berkata, pengembangan hubungan dua hala kepada perkongsian strategik antara Malaysia dan Vietnam bakal membuka peluang dan ruang yang lebih luas bagi para peniaga untuk mengembangkan pelaburan mereka.

Syarikat Malaysia juga dinasihatkan memahami secara mendalam sistem dan juga budaya perniagaan di negara ini bagi membolehkan mereka beroperasi dengan lebih mudah.

Selain itu, mereka juga digalakkan mendapatkan rakan kongsi yang sesuai di sini agar segala perkara berkaitan kelulusan di peringkat perundangan dapat diperoleh dengan segera.

"Salah satu daripada hambatan ialah peraturan dan undang-undang di sini agak berbeza dan mereka perlu melalui kelulusan pelbagai peringkat dan ini menuntut kepada usaha yang lebih untuk mendapatkan kelulusan yang diperlukan mereka," kata beliau.

Dalam pada itu Najib berkata, berdasarkan trend pelaburan semasa Malaysia dan Vietnam berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran nilai dagangan sebanyak US$11 bilion menjelang 2015.

"Semangat kedua-dua pihak (peniaga dan pelabur dari Malaysia dan Vietnam) adalah tinggi untuk terus mencari peluang perniagaan dan ini akan mengembangkan hubungan ekonomi antara kedua-dua negara," kata beliau.

Malaysia merupakan pelabur kelapan terbesar di Vietnam dengan nilai pelaburan yang telah diluluskan setakat ini ialah sebanyak US$10.4 bilion melibatkan 455 buah projek.
Malaysia, Vietnam, peluang perniagaan

Artikel Lain