suria

624 Kontraktor Undi 181 Projek Bernilai RM6.7 Juta

KUALA TERENGGANU: Sebanyak 624 kontraktor pada Khamis menghadiri majlis pengundian untuk 181 Projek Infrastruktur Awam (PIA) dan Projek Penyelenggaraan Infrastruktur Asas (PIAS) bagi daerah Kuala Terengganu.

Proses undian untuk 181 projek bernilai RM6.7 juta itu disaksikan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said.

Ahmad ketika ditemui pemberita berkata undian itu merupakan proses rutin dilaksanakan kerajaan negeri bagi memastikan pengagihan projek secara adil dan telus kepada kontraktor.

"Jadi, hari ini kita tengok semuanya berjalan lancar dengan 181 projek yang bernilai daripada RM30,000 hingga RM90,000 setiap satu.

"Harapan saya agar semua projek ini dapat dilaksana dengan baik mengikut jadual yang telah ditetapkan," katanya di sini.

Mengulas kaedah sistem pengundian berkomputer itu, Ahmad berkata ia diguna pakai bagi memberi keadilan kepada kontraktor yang memohon untuk mendapatkan projek-projek tersebut.

"Kita mahu memberi peluang sama rata kepada para kontraktor yang layak untuk mendapatkan kerja kontrak dengan mengagihkan projek-projek kecil ini secara adil dan saksama melalui sistem undian.

"Jadi sesiapa yang mendapat projek tersebut adalah lebih kepada nasib masing-masing dan ia tidak akan menimbulkan soal pilih kasih," katanya.


Terengganu, Projek

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain