suria

Lebih RM185,000 Dibelanja Bagi Program Koko

KUALA LUMPUR: Sejumlah RM185,650.50 telah dibelanjakan dalam tempoh tiga tahun bagi Program Koko Untuk Rakyat (KUR) melibatkan 53,043 anak pokok koko yang diagihkan kepada 3,592 peserta.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Douglas Uggah Embas berkata jumlah anak pokok itu merangkumi kawasan seluas 53 hektar dengan anggaran pengeluaran sebanyak 53 tan biji koko kering yang bernilai RM434,070 setahun.

Memberi perincian mengenai pengagihan anak pokok koko mengikut tahun, Uggah menjelaskan sebanyak 11,541 diagihkan pada 2013; 9,263 (2012); 21,427 (2011) dan 10,812 (2010).

"Mengenai jumlah peserta pula, 457 peserta terlibat pada 2013; 1,040 peserta (2012); 1,491 peserta (2011) dan 604 peserta pada 2010," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Datuk Othman Aziz (BN-Jerlun) di persidangan Dewan Rakyat di sini, Khamis.

Othman ingin tahu statistik pekebun kecil yang telah mendapat anak pokok koko secara percuma di bawah program itu sejak dimulakan pada 2010.

KUR dilancarkan dengan matlamat untuk membantu penduduk luar bandar yang mempunyai tanah lapang meningkatkan pendapatan melalui tanaman koko, selain memperluaskan tanaman itu dalam kalangan pengusaha kecil dan menyokong perkembangan industri hiliran negara.

Selain anak pokok percuma, kementerian menerusi Lembaga Koko Malaysia juga menyediakan bantuan teknikal dan khidmat nasihat dari segi pembajaan dan pemangkasan dan pemasaran.


Koko, Jerlun, KUR

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain