suria

Malaysia Terus Jadi Tumpuan Industri Halal Global

KUALA LUMPUR: Malaysia terus menjadi tumpuan industri halal global berdasarkan daripada penyertaan 26 negara, termasuk 12 anggota Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) yang menyertai Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS 2014).

Keyakinan ini kekal walaupun banyak spekulasi mengenai senario ekonomi Malaysia, selepas tragedi penerbangan pesawat MH370.

Perhimpunan peserta industri halal terbesar itu akan diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) selama empat hari mulai 9 April.

Dalam kenyataan pada Rabu, sekretariat MIHAS berkata Arab Saudi, Thailand, Afrika Selatan, Taiwan dan Korea Selatan, adalah antara negara yang menyertai pameran itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Datuk Wong Lai Sum berkata, beliau yakin perniagaan akan berjalan seperti biasa bagi MIHAS pada tahun ini, walaupun semua pihak amat sedih dengan tragedi MH370. 

Beliau berkata dalam tempoh 10 tahun lepas, MIHAS telah membina jenama yang kukuh di peringkat tempatan dan antarabangsa berikutan ia merupakan pusat sumber bagi produk halal dan perkhidmatan.  

Sementara itu, Pesuruhjaya Perdagangan Malaysia berpangkalan di Bangkok, Niqman Rafaee berkata Thailand mempunyai penyertaan terbesar di Mihas pada tahun ini. 

"Thailand, dengan 36 ruang pameran, akan diwakili oleh delegasi pegawai dan syarikat yang kukuh," katanya.

Pada 2013, pameran itu disertai lebih 500 syarikat sedia eksport dari 30 negara dengan 18,223 pengunjung perniagaan dan perdagangan dari 65 negara.

MIHAS 2014 mengunjurkan jualan sebanyak RM500 juta berbanding RM411 juta pada tahun lepas, disumbang oleh prospek ekonomi global yang lebih baik, permintaan lebih tinggi terhadap perkhidmatan dan produk halal, serta bilangan ruang pameran yang lebih besar disediakan kali ini.  

MIHAS menawarkan peluang yang luas bagi pempamer untuk mewujudkan jalinan perdagangan dengan pasaran global, terutamanya di Asean.

Dengan Misi Belian Baharu (IBM) di pameran itu, pempamer boleh menjangkakan untuk bertemu pembeli antarabangsa dari seluruh dunia dan mengadakan pertemuan secara bersemuka.

MIHAS merupakan sebahagian daripada "Minggu Halal Dunia" yang terdiri daripada dua acara utama, dan Persidangan Halal Dunia adalah satu daripadanya. 

Acara itu dianjurkan oleh Matrade dan Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) di bawah naungan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain