suria

'ePaper The Star' Kini Turut Disertakan 3 Akhbar Thai, Filipina, Indonesia

Chun Wai (tengah) dan Nazir (dua, kanan) bersama Pengarah untuk Mudah Alih The Philippine Daily Inquirer, JV Rufino (kiri), Pengarah Eksekutif Jakarta Post, Riyadi Suparno (dua, kiri) dan Presiden Hal Ehwal Perniagaan Antarabangsa The Nation, Pana Janviroj pada majlis perasmian kerjasama CIMB-Asean ePaper di Menara Star, baru-baru ini. Foto AZMAN GHANI/THE STAR

PETALING JAYA: The Star dan tiga lagi akhbar lain di rantau ini bergabung memberikan laporan kepada pembaca di setiap negara menerusi satu platform elektronik.

Laporan terperinci yang ditulis dari perspektif tempatan dari Malaysia, Indonesia, Thailand dan Filipina akan ditawarkan menerusi satu langganan e-paper.

Bersama dengan Kumpulan CIMB sebagai rakan rasmi, kerjasama ini akan menawarkan pembaca akses sepenuhnya kepada The Star, The Jakarta Post (Indonesia), The Nation (Thailand) dan The Philippine Daily Inquirer (Filipina).

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan Star Publications, Datuk Seri Wong Chun Wai menyifatkan langkah itu sebagai tidak pernah berlaku dalam dunia media akhbar sebelum ini.

"Ia merupakan satu peluang kepada pembaca untuk memperluaskan pengetahuan mereka dan mengenali negara jiran mereka," katanya pada majlis perasmian kerjasama CIMB -Asean ePaper di Menara Star baru-baru ini.

Ketua Eksekutif Kumpulan CIMB, Datuk Seri Nazir Razak menegaskan betapa pentingnya perspektif tempatan kerana Asean terdiri daripada pelbagai negara.

"CIMB, dalam membina francais Asean kami telah mencipta istilah 'multi-local'.  Anda perlu menjadi penduduk setempat untuk memahami dinamik di setiap negara. 

"Inisiatif ini benar-benar memahami keperluan untuk menjadi sebahagian daripada struktur masyarakat," katanya ketika berucap pada majlis tersebut.

Beliau berkata, inisiatif itu adalah langkah bijak kerana ia akan menghubungkan kepada 450 juta daripada 600 juta penduduk Asean.

Wong berkata, selain kerjasama editorial itu, mereka yang terlibat dalam kerjasama ini boleh memanfaatkan kepakaran dan kedudukan media untuk menjana pendapatan lebih tinggi untuk semua.

Turut hadir adalah Duta Indonesia ke Malaysia, Herman Prayitno, Duta Thailand ke Malaysia, Krit Kraichitti dan Konsul Jeneral kedutaan Filipina Medardo Macaraig Tawaran CIMB-Asean ePaper akan bermula dari 1 April ini.

Mereka yang menggunakan kad kredit CIMB untuk melanggan The Star bundle akan menikmati diskaun 20 peratus daripada harga sebenar iaitu RM360.

Pelanggan sedia ada akan menikmati tiga penerbitan tambahan serantau secara percuma bermula 1 April ini.

Artikel Lain